Calon DAP Bentong disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar


The Malaysian Insight

WONG Tack adalah individu kedua daripada Pakatan Harapan (PH) yang akan disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar selepas Dr Mahathir Mohamad.

Calon DAP bagi kerusi Bentong itu diminta untuk hadir ke balai polis Bentong pada 3 petang hari ini susulan laporan seorang ahli MCA.

Pentadbir akaun Facebook milik Wong membuat hantaran mengenai perkara tersebut pada 6 petang hari ini.

Mengikut laporan polis tersebut, Wong didakwa menyebarkan berita palsu semasa hari penamaan calon.

Laporan itu menyebut yang Wong Tack bersama rakan daripada partinya telah membuat kecoh di pusat penamaan calon apabila meminta calon Gerakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari Lau Hoi Keong menunjukkan kad pengenalannya.

Wong mendakwa Lau tidak mendaftar sebagai pengundi di Pahang justeru hilang kelayakan untuk bertanding. Mengikut undang-undang, calon kerusi DUN harus mempunyai alamat yang sama dengan kawasan yang ditandinginya, berbeza dengan calon bagi kerusi Parlimen.

Kejadian itu dirakamkan secara langsung di Facebook, dan menyebabkan imej Presiden MCA Liow Tiong Lai tercemar kerana orang ramai menjerit nama beliau.

Laporan berkenaan menyebut yang kejadian itu memberikan gambaran bahawa kononnya penyandang Parlimen Bentong selama tiga penggal itu tidak mempuyai alamat di Pahang.

Polis kini sedang menyiasat Dr Mahathir kerana didakwa menyebarkan berita palsu selepas mendakwa ada pihak yang cuba untuk mensabotaj pencalonannya apabila tayar pesawat yang sepatut dinaikinya untuk ke Langkawi sengaja dibocorkan.

Dr Mahathir tetap dengan dakwaannya dan bersedia dihadapkan ke mahkamah. – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen