KEMPEN pertama Dr Mahathir Mohamad di Melaka menerima sambutan hangat hampir 100 orang di kawasan luar bandar di Merlimau, Jasin.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan disambut dengan gema sorakan “Hidup Tun” ketika tiba di kawasan berkenaan.
Ketika beliau menaiki pentas, hadirin terdiri daripada pelbagai kaum mendengar ceramah yang disampaikan.
Apabila Dr Mahathir menuduh perdana menteri sementara Najib Razak “mencuri wang” dan “penyamun”, sorakan mula bergema.
“Poket dia (Najib) ini besar. Berapa banyak pun duit yang bagi pada dia juga lesap.
“Negara kita diperintah oleh penyamun. Penyamun kini yang dipanggil Najib. Adakah kita mahu orang macam ini jadi perdana menteri?” soalnya kepada hadirin yang kemudiannya menjawab “tidak”.
Bekas perdana menteri itu juga berkata, malah orang dalam Umno termasuk dirinya kini menentang pentadbiran Najib.
“Ini amat luar biasa. Saya dalam Umno sebelum ini tapi sekarang saya pemimpin yang mahu jatuhkan Umno,” tambahnya.
Sementara itu orang ramai yang ditemui Malaysia Decides bersetuju dengan kata-kata Dr Mahathir.
“Barisan Nasional sudah tidak tidak adil, jika mereka adil kita semua akan sokong. Tetapi mereka bohong, kami sudah muak dengan BN,” kata pesara guru G. Karunakaran.
Kontraktor dari Merlimau, yang hanya mahu dikenali sebagai Lioww berkata sebelum ini negara tidak pernah mengalami inflasi seperti sekarang.
Beliau mendakwa harga rumah di Melaka kurang sedekad lalu berharga RM70,000 tetapi kini meningkat kepada RM200,000.
Selain itu, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak betul turut menjejaskan hidup rakyat, kata seorang pesara tentera Nordin Baharum.
“Orang miskin macam saya pun kena GST. Ia membebankan,” katanya.
Malam ini Dr Mahathir dijadualkan berkempen bersama bekas menteri Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz di Bukit Katil.
Ini merupakan kali pertama ketiga-tiga pemimpin itu muncul di khalayak di bawah sepanduk PH. – 4 Mei, 2018.
Komen