PENDEDAHAN dibuat Sarawak Report mengenai RM9.5 juta dibayar kepada peguam terkemuka daripada akaun di bawah nama Perdana Menteri Najib Razak, bertujuan membawa huru-hara di dalam negara, kata bekas ketua polis negara Musa Hassan.
“Saya meragui ada tujuan tertentu, ada kepentingan tertentu yang boleh mendatangkan kerosakan atau huru-hara kepada negara kita,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai adakah laporan itu ada kaitan dengan tindakan Anwar Ibrahim memfailkan saman pemula untuk membatalkan sabitan dan pembebasannya dari penjara berikutan pendedahan artikel tersebut.
Pada 31 Mei lalu, Sarawak Report melaporkan peguam Umno Shafee Abdullah yang juga ketua pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar, dibayar RM9.5 juta, yang disalurkan menerusi akaun Najib yang dikatakan daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Musa sebelum ini menepis dakwaan artikel itu dan berkata akaun Najib ditutup pada Ogos 2013, jadi beliau tidak boleh membayar Shafee pada September 2013 dan Februari 2014.
Beliau berkata kenyataannya itu dibuat atas kapasiti rakyat Malaysia yang mahukan kebenaran dan tidak berniat untuk memihak kepada mana-mana pihak, mahupun dibayar sesiapa.
“Saya bukan dalam mana-mana politik. Saya hanya mahu beritahu perkara yang sebenar supaya rakyat tidak keliru disebabkan politiking ini.
“Rakyat Malaysia tidak patut ditekan untuk mempercayai itu dan ini dalam benda yang tiada bukti kukuh,” katanya.
Musa turut mencabar mereka yang membuat dakwaan tersebut melakukan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
“Buatlah laporan polis, SPRM. Biarlah jabatan kerajaan atau jabatan yang mengendalikan siasatan itu mengesahkan.
“Kenapa nak buat cerita-cerita macam ini? Mengelirukan orang ramai, rakyat. Boleh mendatangkan huru-hara kepada negara kita,” katanya. – 10 Jun, 2017.
Komen