PELBAGAI cabaran terpaksa dihadapi calon DAP Syerleena Abdul Rashid dalam usahanya untuk meraih sokongan pengundi di Seri Delima.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini diserang melalui aplikasi Whatsapp yang mempersoalkan kesesuaian beliau bertanding di kerusi tersebut. Beliau turut dituduh mahu menjatuhkan institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan membentuk kerajaan Kristian.
Semalam, ceramah PH di Taman Tun Sardon, Seri Delima telah diganggu beberapa individu malah seorang rakan Syerleena yang membantu beliau berkempen telah diugut bunuh oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Syerleena berkata semua orang tahu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah, ditambah dengan pelbagai berita palsu yang beredar di media sosial selain pelbagai ugutan berbentuk fizikal.
“Terdapat gangguan semasa ceramah berlangsung, rakan saya menerima ugutan bunuh dan telah diganggu secara kasar.
“Saya amat marah dengan taktik politik kebencian dan ketakutan bersifat rendah dan kotor ini. Budaya politik seperti ini sudah ketinggalan zaman dan sudah tak ada tempat dalam masyarakat yang cintakan keharmonian dan keamanan,” katanya pada sidang media dia ibu pejabat DAP Pulau Pinang, hari ini.
“Disebabkan saya seorang calon wanita, ada yang diluar sana sedang menguji kesabaran. Saya tidak boleh terima perkara seperti ini atau takut dengan mereka. Saya akan pastikan tidak akan ada apa-apa yang berlaku terhadap rakan-rakan saya.”
Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, katanya.
Rakan kempen Syerleena Muhamad Sharizul Muiz turut sempat menceritakan detik-detika cemas beliau diugut.
“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai ceramah. Saya berhenti di lampu isyarat dan ketika itu seseorang yang tidak dikenali mengetuk cermin tingkap kereta saya.
“Tanpa syak apa-apa, saya turunkan tingkap. Lelaki itu kemudian bercakap secara kasar. Beliau suruh saya dan orang bersama saya supaya jaga-jaga. Kemudian dia terus pergi,” katanya.
Pengurus Kempen PH Seri Delima Adrian Rahamoney berkata pasukannya tidak akan merasa gentar dengan ugutan seumpama itu.
“Mari bertanding secara bersih. Kita tidak perlukan intimidasi seperti ini.”
Seri Delima, yang mempunyai 25,232 pengundi, terdiri daripada 65.56% kaum Cina, diikuti Melayu (22.44%) dan India (11.24%), merupakan kerusi yang dipegang DAP sejak 2008. Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut R.S.N Rayer memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 9,277 undi pada Pilihan Raya Umum 2013. – 4 Mei, 2018.
Komen