Dr Mahathir mohon maaf gelar mangsa Memali 'mati katak'


The Malaysian Insight

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana menggunakan perkataan kasar dalam mengambarkan kematian yang berlaku semasa insiden Memali pada 1985.

“Dalam ucapan-ucapan saya, (saya) kadang-kadang tersilap kata…. Mungkin perkataan saya itu terkasar, tetapi saya minta maaf kepada keluarga yang terlibat,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menegaskan bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan insiden tersebut.

“Sebenarnya (jika) Hadi tidak berkata kematian seseorang itu apabila melawan kerajaan adalah mati syahid, maka tentu tidak berlaku ke Memali,” katanya.

Mahathir berkata dalam ceramah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam semalam bahawa mereka yang mati di Memali bukan mati Syahid, sebaliknya mati katak.

PAS mengecam kenyataan Dr Mahathir itu, dengan Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata yang ia menghina si mati, keluarga mereka dan rakyat Malaysia.– 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen