Kerajaan janji tumpu pembangunan ekonomi pada tahun ke-2, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji kerajaan perpaduan akan lebih teguh dan jelas dalam membangunkan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

MEMASUKI tahun kedua memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berjanji kerajaan perpaduan akan lebih teguh dan jelas dalam membangunkan ekonomi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tahun pertama pentadbiran Kerajaan Perpaduan digunakan untuk menstabilkan negara dan menyelesaikan isu asas rakyat.

“Tahun pertama kita kemudi (Malaysia), pada awalnya terumbang-ambing tetapi Alhamdulillah dasar jelas kita selesaikan masalah rakyat.

“Cukup setahun dengan mandat ada… tahun (baharu) ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara,” katanya pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya malam ini.

Kerajaan perpaduan ditubuhkan pada November tahun lepas selepas keputusan Pilihan Raya Ke-15 lalu menunjukkan tiada gabungan parti politik yang memperoleh majoriti mudah.

Anwar kemudiannya mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Anwar kini mendapat majoriti dua pertiga yang kuat di Parlimen dengan 151 Ahli Parlimen menyokongnya termasuk empat daripada Bersatu.

Anwar mengakui tahun pertama pentadbiran mempunyai jurang dan kelemahan tadbir urus menjadi isu utama.

Walaupun mendapat maklum balas positif daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis serta meminta kerajaan mengikut proses tadbir urus yang baik, Anwar berkata kelemahan itu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

Beliau berkata kerajaan mengikut prosedur dalam mentadbir negara dan kepimpinannya menyimpan rekod bersih.

Anwar juga berharap dengan kestabilan politik semasa tidak akan ada sebarang percubaan untuk merampas kuasa dan kerajaan sekarang dapat melengkapkan penggal penuh.

“Alhamdulillah politik sudah stabil dan berdoa agar empat tahun akan datang sehingga pilihan raya akan datang tiada campur tangan pentadbiran,” katanya.

Anwar juga dengan yakin dalam dua atau tiga tahun lagi kerajaan perpaduan akan menjadikan Malaysia sebagai negara terhebat di rantau ini. – 23 November, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen