Sasaran kerajaan seterusnya: Tingkatkan mekanisme penyampaian


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Pakar politik berkata kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mesti meningkatkan komunikasi dengan rakyat tentang bagaimana inisiatif Putrajaya boleh memberi manfaat kepada mereka. – Gambar PMO, 24 November, 2023.

KERAJAAN Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah diberitahu untuk menunaikan janji Belanjawan 2024 dan menambah baik mekanisme penyampaian supaya pelbagai program untuk rakyat benar-benar mencapai sasaran mereka.

Mengulas mengenai tahun pertama kerajaan berkuasa, pakar politik berkata Putrajaya juga mesti meningkatkan komunikasi dengan rakyat tentang bagaimana inisiatifnya boleh memberi manfaat kepada mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata terdapat tiga perkara yang perlu diberi keutamaan untuk penambahbaikan kerajaan.

Pertama, beliau menggesa Putrajaya dan Anwar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan Belanjawan 2024.

“Dengan ini, kerajaan mesti berusaha memulihkan ekonomi, meyakinkan pelabur dan menterjemahkannya dalam bentuk pelaburan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata ini juga dapat mengukuhkan nilai ringgit dan mengatasi isu kos sara hidup.

“Kedua, kerajaan mesti menambah baik mekanisme penyampaian dan mengatasi kekurangan maklumat dasar kepada rakyat,” katanya.

Dengan komunikasi yang baik katanya, kerajaan boleh menghebahkan inisiatifnya dengan berkesan dan menutup pintu kritikan.

Akhir sekali, Hisomuddin berkata langkah perlu diambil untuk menangani keperluan masyarakat Melayu berdasarkan data.

Beliau berkata ini masih menjadi kelemahan kerajaan Anwar.

“Usaha meneutralkan naratif yang dibawa oleh pembangkang perlu dilakukan.

“Apa pun strateginya, ini adalah langkah politik yang perlu diambil sebelum tamat penggal pentadbiran ini jika ia bercita-cita untuk mendapatkan mandat lain,” katanya.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersetuju bahawa kerajaan mesti menambah baik dalam menyampaikan usahanya kepada rakyat.

Selain itu, katanya kerajaan juga mesti memartabatkan industri dan menarik pelaburan asing.

“Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian terutamanya dalam menangani keselamatan makanan,” katanya.

Bagi bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago, beliau berkata kerajaan perlu memikirkan semula strategi untuk Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Terdapat juga keperluan besar untuk menangani isu kelas pekerja - kenaikan gaji, harga dan jaminan pekerjaan.

“Tiga perkara ini mesti dilakukan sebagai keutamaan. Ini merentasi segala-galanya.

“Pada masa ini keselamatan pekerjaan menjadi masalah, gaji tidak setanding, dan jauh lebih rendah daripada inflasi, berpendapatan tidak mencukupi dan mengalami kenaikan harga di luar kawalan,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata beliau mahu melihat kerajaan menambah baik dalam mengawal harga barangan asas.

Tambahnya, kerajaan perlu memastikan isu kos sara hidup dapat ditangani.

“Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Saya optimis kerajaan perpaduan dapat melakukannya berikutan kejayaan Anwar mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa yang berjaya mendapatkan pelaburan asing,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sasaran kerajaan seterusnya adalah untuk memastikan rakyat mempunyai makanan yang mencukupi di atas meja mereka dan harga barangan dan barangan runcit adalah berpatutan.

“Kerajaan perpaduan ini perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh melakukannya.

“Kami berharap kerajaan perpaduan akan lebih baik dalam memperbaiki keadaan ekonomi rakyat,” katanya. – 24 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen