Najib seru pengundi awal pilih "harapan sebenar"


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri sementara Najib Razak menyeru rakyat Malaysia yang mengundi awal esok, terutamanya anggota keselamatan, supaya memilih berdasarkan fakta, pencapaian serta sumbangan kerajaan kepada negara dan anggota keselamatan.

Katanya, mereka tidak wajar membuat pilihan berdasarkan hasutan pembangkang yang bukan saja tidak menghargai malah meremehkan sumbangan mereka kepada negara.

Menurut Najib, kerajaan  tidak pernah “menghalang, mengekang atau mengarahkan” bagaimana anggota keselamatan harus mengundi tetapi menyebut pilihan yang tepat ialah Barisan Nasional.

“Hakikatnya, “Harapan” sebenar ada pada Barisan Nasional,” katanya dalam mesej melalui blognya hari ini.

“Pilihlah kestabilan, pilihlah kemakmuran, pilihlah kejayaan. Pilihlah untuk #HebatkanNegaraku.

“Semoga pilihan saudara saudari nanti menentukan masa depan Malaysia yang berjaya dan terus berjaya,” tambah beliau.

Beliau turut mengimbas tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah pada awal 2013. Katanya, tidak seperti pembangkang yang memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan mempertahankan negara, beliau sebaliknya sentiasa memikirkan bagaimana untuk terus menghargai dan meningkatkan lagi kualiti hidup mereka.

Najib menyebut usaha kerajaan BN menjaga kebajikan dan kesejahteraan anggota keselamatan selama ini, antaranya kemudahan perumahan untuk anggota tentera dan polis serta kuota haji khas untuk pesara keselamatan.

Anggota keselamatan tentera laut, darat dan udara serta pasukan keselamatan awam adalah antara 300,255 pengundi yang lain akan mengundi awal esok.– 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen