CALON PKR untuk Rantau, Dr S Streram, akan menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana salah laku penjawat awam selepas beliau dilarang memasuki pusat penamaan calon pada Sabtu lepas.
“Kepada SPR serta pegawai pengurus pilihan raya, Insya Allah, bersedialah berdepan tindakan undang-undang kerana salah laku penjawat awam,” kata peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Beliau menambah Dr Streram akan memfailkan petisyen pilihan raya kerana melanggar hak perlembagaan untuk bertanding sebagai calon, dan juga kerana “mencuril” hak pengundi Rantau untuk memilih wakil rakyat mereka.
Dr Streram dihalang daripada memasuki pusat pencalonan kerana tidak mempunyai pas masuk calon yang dikeluarkan oleh SPR, menyebabkan kemenangan tanpa bertanding kepada menteri besar sementara Negeri Sembilan, Mohamad Hassan.
Bagaimanapun, tiada undang-undang yang mengarahkan keperluan bagi pas sedemikian bagi mereka yang ingin memfailkan pencalonan.
Malaysia Decides melihat surat yang diterima Haniff daripada SPR hari ini yang menyatakan Mohamad menang tanpa bertanding.
Saman Dr Streram datang selepas pakar bius itu menuntut agar SPR membetulkan penamaannya pada petang semalam.
“Apa yang diterima oleh Dr Streram hanyalah respons statik daripada SPR yang mengesahkan notis pemberitahuan mengenai keputusan kerusi N.27 Rantau.”
“Sangat menyedihkan kerana SPR yang sepatutnya menjadi badan mengawasi pilihan raya yang adil dan saksama di negara ini menolak surat permintaan/penjelasan yang dihantar oleh Dr Streram begitu sahaja,” kata Haniff.
Haniff berkata semua permintaan, tuntutan dan penjelasan yang diminta dalam surat Dr Streram yang ditujukan kepada SPR di Putrajaya dan Seremban senyap tanpa sebarang jawapan.
Di bawah undang-undang, Petisyen Pilihan Raya menurut Seksyen 38 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1953 boleh difailkan dalam masa 21 hari terhadap notis pemberitahuan itu. – 4 Mei, 2018.
Komen