BN paling banyak buat kesalahan pilihan raya, dakwa Bersih Sabah


The Malaysian Insight

BERSIH Sabah 2.0 merekodkan 41 kesalahan pilihan raya olehparti politik di negeri itu sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar sehingga musim kempen bermula selepas hari penamaan calon pada Sabtu.

Kumpulan itu mendakwa Barisan Nasional (BN) paling banyak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tidak mematuhi konvensyen sedunia berhubung kerajaan sementara.

Kesalahan itu termasuk merasuah, membeli undi dan menyalahgunakan aset kerajaan.

Ia termasuk pengumuman oleh Pengerusi BN Sabah Musa Aman untuk mewartakan 51.9 ekar tanah di Kg Numbok sebagai tanah adat pada 26 April; Setiausaha BN Sabah Abdul Rahman Dahlan pula mengambil kesempatan berkempen semasa pesta kerjaya yang dianjurkan Yayasan Sabah - yang dimiki kerajaan negeri pada 30 April; dan menyerahkan status pribumi kepada 1,279 orang kampung di Pulau Banggi pada 3 Mei.

Parti pembangkang, Parti Warisan Sabah, turut melakukan kesalahan sejurus hari penamaan calon. Ia termasuk menyebarkan politik kebencian dan perkauman, kata Bersih pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

“Kami terkejut dengan jumlah kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh kesemua parti terlibat termasuk penyalahgunaan aset kerajaan oleh kerajaan sementara untuk tujuan berkempen, menurut pemerhati kami,” kata pengerusi Bersih negeri Beverlu Joeman.

“Bersih Sabah mahu memberi peringatan bahawa semua parti politik harus patuh dengan proses pilihan raya yang adil dan bersih, dan juga mengamalkan sikap yang sihat dan baik semasa tempoh berkempen,” katanya.– 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen