BEKAS menteri kewangan Daim Zainuddin membidas balik kritikan Barisan Nasional (BN) terhadapnya kerana berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Kata beliau, reaksi pemimpin BN jelas menunjukkan yang mereka sebenarnya takut dengan keadaan sekarang apabila veteran Umno sepertinya mula tampil menentang parti itu.
“Saya baca tadi dalam akhbar profesor kata, ini semua tak berpengaruh, pengacau saja… kata kita ini pengacau.
“Saya nak jawab ya, kalau kita sampah, buat apa sibuk? Kenapa?
“(Mereka kata) Dr Mahathir tak penting, Rafidah Aziz tak penting, saya tak penting… lepas itu bising buat apa,” katanya dalam program bersama penduduk Kg Sungai Bujang di Merbok, Kedah hari ini.
Daim yang berkempen secara terbuka untuk PH sejak hari keempat kempen PRU14 dikecam hebat oleh pemimpin BN dan penyokong parti itu kerana tindakannya yang yang didakwa tidak mengenang jasa parti yang pernah mengangkatnya jadi menteri.
Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor malah berkata perkembangan ini sedang diteliti oleh parti dan Umno tidak teragak-agak mengambil tindakan kerana Daim masih ahli parti.
Daim muncul dalam kempen PH di Pendang, Kubang Pasu dan Lembah Pantai, selepas secara sendiri mengadakan pertemuan dengan penduduk di Langkawi sebelum ini.
Semalam, beliau bersama pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad bertemu penduduk di Pekan, kawasan yang ditandingi presiden Umno yang juga perdana menteri sementara Najib Razak.
Malam ini beliau akan muncul di Melaka, sekali lagi bersama Dr Mahathir dan akan turut disertai Rafidah Aziz, bekas ketua wanita Umno.
Dalam wawancara dengan akhbar Straits Times Singapura hari ini, Daim yang meramal tepat keputusan PRU12 dan PRU13, menjangkakan BN akan tumbang pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
Katanya, BN akan kalah kerana memandang remeh kemarahan rakyat yang melata terhadap kenaikan kos sara hidup dan penyelewengan dalam kerajaan.
Sementara itu, Daim menempelak tuduhan Najib yang PH akan menutup Universiti Teknologi Mara (UiTM) jika mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.
“Yang buat universiti ini siapa, siapa yang naik taraf universiti ini, takkan Dr Mahathir nak tutup UiTM.
“Jangan tipulah, ini yang saya cakap ‘fake news,” katanya kepada kira- kira 20 peserta yang hadir sambil menunjukkan akhbar pro kerajaan yang memaparkan berita itu. – 4 Mei, 2018
Komen