PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah kempen pilihan raya paling banyak “sekatan”, dengan parti pemerintah berusaha sedaya upayanya menghalang calon pembangkang daripada bertanding, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad,
Calon perdana menteri dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia adalah kempen pilihan raya paling “luar biasa” dan “pengalaman baru” baginya.
“Ini adalah kali pertama saya dapat mengalami kempen di mana parti-parti kerajaan bekerja keras untuk menghalang orang daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya.
“Malah gambar saya tidak boleh dipaparkan. Tiada undang-undang seperti itu pada masa lalu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
“Saya diberitahu tidak boleh bergerak dan berkempen. (Tetapi) Perdana Menteri Najib Razak bebas pergi ke mana-mana sahaja. Kenapa gambarnya tidak diturunkan?
Dr Mahathir berkata pengalaman itu menunjukkan kepadanya perbezaan antara “pilihan raya yang teruk dengan pilihan raya yang bersih”.
Gambarnya dipotong atau ditutup oleh pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada papan iklan kempen di beberapa tempat di seluruh negara.
Ini susulan peraturan yang dikenakan oleh SPR seminggu sebelum hari pencalonan yang menghalang imej sesiapa kecuali calon, presiden dan timbalan presiden parti calon itu.
Memandangkan semua parti PH menggunakan tiket PKR, langkah ini berkesan menghalang imej Dr Mahathir daripada dipaparkan di mana-mana sahaja, kecuali di Langkawi di mana beliau bertanding.
Pemimpin berusia 92 tahun itu menjelajah Semenanjung Malaysia untuk memberi ceramah hampir setiap malam.
Beliau akan memberi ceramah terakhir di lokasi khas pada 10 malam, 8 Mei di Langkawi, malam sebelum hari mengundi.
Diumumkan hari ini yang semua ceramah PH diadakan di seluruh negara akan berhenti pada pukul 10 malam bagi ucapan Dr Mahathir untuk disiarkan secara langsung. – 4 Mei, 2018.
Komen