Ramai tidak puas hati dengan kerajaan Anwar, kata tinjauan


Ravin Palanisamy

Hampir separuh daripada mereka yang ditinjau mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

HAMPIR separuh daripada mereka yang ditinjau mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati.

Tinjauan Merdeka Centre yang diadakan dari 4 hingga 24 Oktober melibatkan 1,220 pengundi semua etnik di seluruh negara menunjukkan 41% daripada mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Persekutuan manakala 7% melahirkan kemarahan.

Berdasarkan etnik, Melayu merupakan responden tertinggi (60%) yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Anwar diikuti India sebanyak 52%.

Tinjauan mendapati kebanyakan responden dari kawasan bandar, luar bandar di semenanjung turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Persekutuan.

Mengikut kumpulan pendapatan mereka yang mempunyai julat gaji di bawah RM4,000 adalah yang paling tinggi menyuarakan keluhan mereka kepada kerajaan semasa.

Berbanding rasa tidak puas hati, 4% pengundi menyatakan mereka gembira dengan kerajaan Anwar, manakala 11% sama ada enggan menjawab atau menyatakan tidak tahu.

“Pada pandangan kami pergerakan dalam sentimen pengundi sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan mereka terhadap ekonomi dan bagaimana ia memberi kesan kepada mata pencarian mereka,” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan berdasarkan hasil tinjauan itu.

Pada 19 November tahun lalu Malaysia mengadakan PRU yang menyaksikan tiada satu pun daripada tiga gabungan besar – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional dapat membentuk kerajaan.

Ini membawa kepada Parlimen yang pertama digantung di negara ini. Selepas beberapa kali pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, PH memutuskan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN serta parti Sabah dan Sarawak.

Ini memberikan Anwar sokongan 148 ahli Parlimen dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.

Beliau kini mendapat majoriti lebih kuat di Parlimen dengan 151 ahli Parlimen menyokongnya termasuk empat daripada Bersatu. – 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen