PAPAN iklan besar yang didirikan di jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub oleh Hamdan Sani, calon PAS untuk kerusi Parlimen Petra Jaya, berjanji pengundi akan hidup “bersejahtera bersama PAS” jika parti Islam dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tetapi jika penilaian dua penganalisis politik diterima, segala janji itu akan diabaikan, dengan PAS dijangka mengalami kekalahan lebih besar dalam pilihan raya ini berbanding pada 2013.
Pada 2013, PAS bertanding sebagai ahli gabungan Pakatan Rakyat di lima kerusi - Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan, dan Sibuti.
Parti itu kalah di semua kerusi.
Pada PRU14, PAS akan bertanding lima kerusi lagi – kerusi majoriti Melayu di luar bandar Kota Samarahan (Zulkipli Ramzi) dan Batang Sadong (Asan Singkro); dan kawasan baru seperti kerusi bandar Petra Jaya; kerusi luar bandar Batang Lupar (Narudin Mentali); dan kerusi Sibuti di Miri (Zulaihi Bakar).
Tetapi menurut James Chin, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, usaha parti itu akan sia-sia kerana bukan sahaja mereka gagal mendapatkan sebarang kerusi, semua calonnya dijangka hilang wang deposit.
“Ia akan kalah 100% dan mereka semua akan hilang wang deposit mereka,” kata Chin.
Chin yang lahir di Kuching berkata, “orang Melayu di Sarawak tidak boleh menerima parti Islam lain selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)” dan PAS atau mana-mana parti Melayu lain akan mengalami kesukaran untuk menembusi Sarawak.
PBB adalah parti utama dalam gabungan empat parti Barisan Nasional Sarawak.
Parti lain adalah Parti Rakyat Sarawak yang berasaskan kaum Dayak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak berasaskan kaum Cina, dan parti berbilang kaum Parti Demokrat Rakyat. – 4 Mei, 2018.
Komen