“BILIK perang” MCA mengeluarkan amaran tsunami Melayu dan bersedia dengan kemungkinan kalah teruk pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
Sumber dalaman mengatakan tanda-tanda tsunami Melayu semakin jelas ketika hari mengundi semakin hampir dapat dirasai.
Pada sesi Parlimen lalu, parti itu mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri, yang menyebabkan pengkritiknya menggelarnya parti 7-11, nama kedai serbaneka yang popular.
“Bilik perang” yang beroperasi di ibu pejabat parti menetapkan sasaran 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas bukti anekdot dan tinjauan rasmi menunjukkan masyarakat Cina semakin mesra kepada parti itu.
Tetapi sejak kempen bermula, keyakinan itu semakin menghilang.
Menambah kebimbangannya dengan keputusan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menyokong Pakatan Harapan (PH), tokoh yang dikagumi masyarakat dengan cara beliau menguruskan ekonomi semasa berkhidmat.
Persatuan perniaga memujinya dan ramai mungkin terpengaruh oleh ceramahnya mengenai urus niaga lebih baik untuk perniagaan.
“Beliau seorang game changer. Beliau akan memberi impak kepada komuniti terutama masyarakat Melayu,” katanya.
Analisis oleh jentera pilihan raya MCA pada 2 Mei mengenal pasti kerusi Parlimen Tebrau, yang dipertandingkan oleh Naib Presiden MCA, Hou Kok Chung, dalam bahaya.
Tebrau mempunyai 123,033 pengundi, dengan majoriti orang Melayu 47,19%, diikuti oleh Cina (39,36%) dan India (11,54%).
Pada PRU13, Khoo Soo Seang daripada MCA mengekalkan kerusi dengan 1,797 undi.
Khoo tidak bertanding tetapi orang dalam “bilik perang” berkata Hou mungkin tidak dapat mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu.
“Hou mempunyai masalah dengan akar umbi tempatan, walaupun bekerja keras, beliau sudah tiada masa. Ditambah dengan kemungkinan 7% hingga 8% peralihan undi dan pertarungan tiga penjuru, saya hanya boleh mengatakan ia tidak begitu bagus,” katanya.
Tambahan pula, beliau berkata, Hou adalah calon bidan terjun yang tidak begitu banyak berkhidmat kepada penduduk setempat.
Sebaliknya, calon-calon MCA yang lain berharap kepada rekod mereka berkhidmat kepada penduduk tempatan untuk memenangi undi Melayu luar bandar.
“Presiden kami Liow Tiong Lai di Bentong, Timbalan Presiden Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Naib Presiden Chua Tee Yong di Labis, Dr Mah Hang Soon di Tanjong Malim, Wee Jeck Seng di Tanjung Piai dan Wong Nai Chee di Alor Gajah. Saya percaya mereka semua boleh menang tetapi tsunami Melayu akan menjadi penghalang kerjaya politik mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata Liow menang dengan majoriti 379 undi dalam PRU13, tetapi sejak lima tahun yang lalu, bekerja keras dengan cemerlang.
Beliau berkata Liow membantu membangunkan masyarakat Cina tempatan di Bentong dan meneruskan warisan mentornya untuk berkhidmat kepada rakyat. Parti itu percaya Liow boleh mencapai keputusan lebih baik di Bentong kali ini.
Tetapi jika peneroka Felda di kawasan itu berpaling daripada menyokong BN, ia akan memusnahkan harapannya.
Beliau berkata, Ka Siong, Jeck Seng, dan Chua melakukan kerja-kerja sepatutnya dalam tempoh lima tahun lalu dan berkhidmat kepada rakyat luar bandar, dan juga mengharapkan rekod perkhidmatan mereka.
Sebaliknya, Wong Mah bagi Tanjung Malim dan Wong bagi Alor Gajah adalah pilihan yang kontroversi.
Keputusan meletakkan mereka menerima respons yang tidak begitu positif daripada akar umbi. Terdapat demonstrasi dan protes.
Pihak dalam parti itu berkata di Raub, Kampar dan Wangsa Maju, ia berharap segala kerja yang dilakukan oleh calon sepanjang tahun mungkin akan mengubahnya.
“Ada peluang yang baik untuk menang tiga kerusi ini, terutamanya Wangsa Maju. Ketua MCA Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look juga berkhidmat di kawasan itu selama 15 tahun yang lalu.
Jentera MCA juga mendapati rekod perkhidmatan positif dua naib presidennya, Lee Chee Leong di Kampar dan Chew Mei Fun di Raub, akan memberi mereka peluang.
Bagaimanapun, semua ini akan hilang jika bank undi Melayu BN beralih kepada pembangkang disebabkan tsunami Melayu. – 4 Mei, 2018.
Komen