Kempen Zairil di Tanjung Bungah bermula sukar


The Malaysian Insight

AHAD lalu, sehari selepas penamaan calon, bekas ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari cepat belajar bahawa bertanding untuk DUN pada pilihan raya umum (PRU) adalah sesuatu yang berbeza.

Hari kedua kempennya, calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Tanjung Bungah itu sudah diserang sekumpulan penduduk di Batu Ferringhi yang berang dengan pembinaan kondominium berkepadatan tinggi di belakang kediaman mereka.

Zairil yang menghadiri dialog anjuran penduduk itu tidak dapat bercakap sesuatu yang mereka mahu dengar – bahawa beliau akan terus menghentikan projek itu.

Ahli politik DAP yang bersuara lembut itu akui hadapi hari yang sukar pada hari itu, malah beliau diejek oleh sesetengah penduduk.

“Saya faham kenapa mereka marah tentang cadangan pembangunan itu. Seperti saya katakan hari itu, hasil laporan mereka, kerajaan negeri patut menilai semula projek itu dan mendapatkan pakar teknikal lain untuk mengesahkan dakwaan itu.

“Kalau mengikut kerajaan negeri, semua garis panduan sudah dipenuhi. Tetapi, bantahan penduduk patut diambil kira,” katanya, menambah bahawa kerajaan negeri yang berada di bawah PH sejak 10 tahun lalu, sentiasa terbuka kepada maklum balas umum.

Bertukar ke Tanjung Bungah, iaitu kerusi DUN di bawah Bukit Bendera, fokus Zairil perlu berubah daripada isu besar nasional kepada rungutan tempatan, dan ada kelas pertengahan dan kawasan yang mewah.

Antara isu tempatan ialah kesesakan lalu lintas terutama pada musim cuti dan pembangunan yang berlebihan.

Zairil berkata kerajaan negeri bercadang membina jalan bersebelahan jalan utama – satu-satunya laluan – menuju ke Batu Ferringhi.

“Sekarang pembangunan akan sulit kerana ia subjektif. Saya percaya pembangunan sedang berkembang tetapi ia perlu mapan dan mengikut garis panduan yang sempurna.”

Isu pembangunan di Tanjung Bungah memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) menyerang kerajaan negeri sementara dan membangkitkan persoalan sejauh mana berkesannya Zairil untuk mewakili kepentingan masyarakat tempatan jika dipilih menjadi ADUN.

Zairil menentang Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, seorang bekas exco dalam pentadbiran Gerakan sebelum ini.

Pencalonan Teng menandakan BN meletakkan harapan tinggi untuk menang Tanjung Bungah. Calon lain ialah daripada Parti Rakyat Malaysia dan Malaysian United Party.

Walaupun ada bertemu beberapa pengundi yang berang pada awal kempennya, Zairil berkata kempen kini semakin baik dan sentimen rakyat positif.

“Orang kenal saya jadi saya tidak perlu kenalkan diri ke mana saya pergi. Ada antara mereka ucap terima kasih kerana pernah tolong mereka dulu,” katanya, bercerita seorang wanita memeluknya kerana memberi bantuan ketika rumah musnah dilanda ribut.

“Rakyat tahu apa yang saya buat sepanjang lima tahun lalu. Jadi ia sangat membantu.” – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen