CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, Irmohizam Ibrahim berkata rakyat tidak peduli terhadap isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerana mereka lebih bimbang terhadap soal pembangunan tempatan.
“Rakyat tidak termakan (isu-isu nasional) kerana kebanyakan isu itu ia direka ceritakan semata-mata untuk dijadikan bahan kempen untuk menghasut supaya rakyat membenci parti BN,” kata Irmohizam apabila ditanya sama ada penduduk Kuala Selangor terkesan dengan kontroversi GST dan 1MDB semasa lawatan kempennya.
Irmohizam menjanjikan 15 projek pembangunan untuk Kuala Selangor, termasuk membina Kolej Komuniti, sekolah, dan unit rumah kos rendah, jika beliau dipilih semula.
“Sebagai anak tempatan sudah tentu saya mendengar denyut nadi rakyat. Saya memahami benar apakah kehendak rakyat tempatan kerana saya dibesarkan dalam persekitaran yang sedemikian,” katanya.
Bagaimanapun, ketika beberapa penduduk tempatan menyatakan sokongan terhadap Irmohizam, kebanyakan yang bercakap dengan Malaysia Decides berkongsi yang mereka bimbang dengan isu negara terutama mengenai ekonomi kerana mengalami peningkatan kos sara hidup.
“Di bawah YB (Irmohizam) ini Alhamdulillah. Makcik senang dapat bantuan. Dia turun padang juga,” kata Nor Azizah Siron, 65 tahun.
“Tapi itulah kita memang rasa kos hidup meningkat, barang mahal. Harap kerajaan terus prihatin nasib-nasib orang macam makcik ini,” katanya yang tinggal di Puncak Alam.
Seorang lagi penduduk, Nasir Mohamad, 38, lebi berterus-terang dengan menyalahkan GST sebagai punca kenaikan harga dan perkhidmatan.
“Anak saya baru dua orang. Tidak dapat BR1M dan perlu membayar cukai. GST amat membebankan walaupun di Kuala Selangor barang juga mahal. Tiada beza dengan Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pilihan raya 2013, Irmohizam mengalahkan penyandangnya, Dr Dzulkefly Ahmad, yang ketika itu merupakan calon PAS, dengan majoriti 460 undi.
Bagi pilihan raya kali ini, kedua-duanya akan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS Mohamad Fakaruddin Ismail.
Penyelidikan awal menunjukkan Dr Dzulkefly berada mendahului di Kuala Selangor, tetapi pemimpin Amanah itu berkata beliau tidak mengambil sebarang risiko dan bersedia untuk bertarung. – 4 Mei, 2018.
Komen