PKR sedia dengar suara pimpinan, ahli pastikan tiada dipinggir, kata Nik Nazmi 


Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau mengambil maklum mengenai harapan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2023.

PKR bersedia untuk mendengar suara mana-mana pimpinan atau anggota bagi memastikan tiada pihak yang merasa dipinggirkan.

Hal itu susulan laporan media baru-baru ini berhubung seorang wakil rakyat PKR, yang enggan mendedahkan identitinya, berharap supaya kongres parti itu hujung minggu ini akan membincangkan peranan pemimpin bukan Melayu dalam parti berkenaan. 

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau mengambil maklum mengenai harapan berkenaan selain parti itu tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum atau mengutamakan kaum tertentu.

“Saya faham sentimen itu sebab PKR ini parti nasional yang ada keanggotaan dan kepimpinan pelbagai kaum, kalau dalam kabinet…menteri pun kita ada dari masyarakat Tionghua (Cina), kita ada dari masyarakat India, timbalan menteri kita ada dari Sabah.

“... jadi saya faham pandangan tersebut tetapi kita juga kena faham bahawa ini bukan kerajaan Pakatan Harapan, ini Kerajaan Perpaduan yang mana ada pelbagai pertimbangan perlu diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas keputusan Pilihanraya Umum ke-15 lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Inisiatif Tenaga Solar Fotovoltan (PV) Indah Water Konsortium (IWK) di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 1 IWK di Kuala Lumpur hari ini. – Bernama, 21 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen