Permohonan Tian Chua untuk bertanding di Batu gagal


The Malaysian Insight

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Tian Chua untuk mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak melayakkannya bertanding dalam PRU14, berikutan mahkamah tidak ada bidang kuasa untuk menimbang tara perbalahan pilihan raya.

Bekas ahli Parlimen Batu yang akan merayu keputusan mahkamah hari ini, menggesa penyokongnya untuk mengundi P. Prabakaran, 22, calon bebas di kawasan itu.

“Kita tidak akan benarkan Barisan Nasional (BN) menang,” kata Tian Chua kepada wartawan.

“Prabakaran secara peribadi bersetuju untuk membawa misi dan sepanduk Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui selepas keputusan dibacakan di mahkamah hari ini.

“Beliau akan bekerjasama rapat dengan semua ahli pasukan saya. Bermula malam ini kita akan berkempen habis-habisan untuk memastikan Praba menang kerusi Batu.

“Taktik kotor BN, guna cara salah tidak akan diterima oleh rakyat. Kami akan berkempen mengundi menggunakan simbolnya iaitu kunci.”

Tian Chua menyifatkan Prabakaran sebagai orang muda dan bertenaga: “Kami berharap dapat membimbingnya untuk menjadi aktivis dengan standard PKR.”

Ditanya adakah Prabakaran akan menyertai PKR, Tian Chua berkata: “Kita beri perhatian kepada kemenangan PRU dulu dan mahu memastikan PH tidak kalah Batu.”

Terdahulu, Hakim Nordin Hassan memutuskan beliau tidak ada bidang kuasa untuk menentukan kesahan bantahan pegawai pengurus SPR atau memberikan deklarasi seperti yang dipohon oleh Tian Chua.

Beliau berkata perbalahan itu sepatutnya diselesaikan menerusi petisyen pilihan raya, di bawah Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan, dan perlu didengar di hadapan hakim pilihan raya.

Ketua pasukan peguam Tian Chua, Gurdial Singh berkata bekas wakil rakyat PKR itu akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan. – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen