WALAU menang dengan selesa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti hampir 11,000 undi di kerusi Shah Alam, penyandangnya Khalid Samad perlu bekerja lebih keras memenangi hati pengundi Melayu kali ini, kata penganalisis.
Penganalisis daripada Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, saranan itu bukan disebabkan Khalid berpindah ke parti Amanah, tetapi kerana peratusan pengundi Melayu di situ semakin bertambah berbanding PRU13.
“Masa dulu Pakatan Rakyat (PR) menang undi Cina, di mana sebahagian besarnya sebab berlaku gerrymandering. Jadi kali ini, (jumlah pengundi) Melayu itu lebih tinggi daripada (PRU) yang lepas.
“Jadi kekuatan Khalid akan teruji (dengan) bagaimana pola Melayu bandar membuat keputusan. Dulu undi PR disumbangkan besar daripada majoriti undi bukan Melayu.
“Tapi kali ini, oleh kerana sebahagian undi itu dikeluarkan, saya rasa ini betul-betul memperlihatkan saingan sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Malaysia Decides.
Katanya, Khalid berisiko untuk meraih semakin kurang undi Melayu dari kawasan elit atau dari pengundi golongan kelas pertengahan atas yang bekerja dengan kerajaan atau tidak menyokong pembangkang.
“Mereka juga kurang terkesan dengan kos sara hidup serta faktor DAP dalam PR dan kini PH menjadi salah satu sebab mengapa Khalid sukar untuk dapatkan undi mereka,” katanya.
Beliau berkata, undi bandar itu juga dipengaruhi oleh isu-isu di negeri tersebut seperti isu gangguan bekalan air.
Namun, katanya pengundi Melayu di kawasan bandar elit di situ yang kebanyakannya sebelum ini bersama dengan BN mungkin akan menampakkan perpecahan berikutan penglibatan Dr Mahathir Mohamad bersama PH.
Seramai 99,957 orang layak mengundi di Shah Alam dalam PRU13, dengan jumlah pengundi Melayu, Cina dan India masing-masing merupakan 69%, 15% dan 14%.
Dalam PRU14, jumlah pengundi bertambah kepada 107,316. Pengundi Melayu bertambah kepada 76% dan jumlah pengundi Cina dan India pula berkurangan kepada 11% dan 13%. – 4 Mei, 2018.
Komen