Isu kos sara hidup terus jadi keluhan pengundi Shah Alam


The Malaysian Insight

DI kerusi Parlimen Shah Alam, beban kos sara hidup terus menjadi keluhan di kalangan pengundi di kawasan disandang Khalid Samad, calon Pakatan Harapan (PH).

Beberapa individu yang ditemui Malaysia Decides berkata isu itulah antara sebab yang menyebabkan mereka mahu mengekalkan Khalid di Shah Alam untuk penggal ketiga.

Zaharul Aidi, 35, seorang juruteknik juga tidak risau dengan persaingan tiga penjuru yang dihadapi Khalid kali ini kerana baginya pengaruh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam PH sudah cukup kuat untuk menarik undi orang ramai. 

“Saya rasa okey di bawah Khalid Samad. Saya perasan juga kalau bual-bual dengan kawan-kawan hal politik, ramai yang tak puas hati dengan isu-isu nasional, harga barang naik,” katanya. 

Seorang lagi peniaga berusia 35 tahun, G Mageswaran berkata sepanjang 10 tahun di bawah penyandang kerusi Shah Alam itu, beliau tidak sukar untuk meminta bantuan. 

Namun, yang membimbangkan beliau adalah masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup pengguna yang membelenggu hidupnya sebagai seorang peniaga. 

“Macam dulu, pukul 7 malam saya dah boleh kemas barang. Tapi sekarang ni pukul 7 pun barang banyak lagi. Orang lari tempat untuk beli barang sebab ramai orang lagi suka beli barang kat supermarket sebab boleh pakai kad kredit – boleh hutang dulu, cukup bulan bayar,” katanya. 

Seorang lagi peniaga pasar malam, Arif Omar, 26, berkata beliau masih berbelah dalam membuat pilihan. Namun manfaat yang diperolehi melalui Inisiatif Peduli Rakyat kerajaan negeri Selangor mempengaruhi sokongannya itu, katanya.

Peniaga itu percaya isu-isu nasional seperti kos sara hidup tinggi, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) itu menyebabkan pendapatannya semakin terjejas.

“Harapan saya satu saja, tak kira daripada parti mana janji boleh kurangkan beban rakyat. Sebab dulu dari 80% keuntungan boleh merosot sehingga 40%,” katanya. 

Pada PRU13, pengarah komunikasi Amanah itu menang bertanding di atas tiket parti lamanya, PAS dengan majoriti 10,939 dengan 49,009 undi, menentang calon Barisan Nasional, Zulkifli Nordin yang meraih 38,070 undi. – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen