TUAN Sabariah Tuan Ishak mengakui tindakan anaknya Nik Omar Nik Abdul Aziz bertanding menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 menyebabkan keluarganya mengalami sedikit perpecahan.
Isteri bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak dapat menahan sebak semasa berbicara mengenai kemelut yang melanda keluarganya dengan tindakan anak lelaki sulungnya itu menyertai Amanah.
Beliau berkata demikian semasa di majlis Ceramah Kelompok Kampung Pulau Tukang Dollah UPU Pulau Panjang, DUN Chempaka, Kelantan, semalam.
“Sekarang (kita akui) keluarga pecah sikit, tidak banyak, anak sepuluh orang, seorang sahaja yang ponteng,” katanya ketika dipetik dalam laman Facebook Muslimat PAS Pengkalan Chepa.
Nik Omar semalam berkempen di Lembah Klang, mengadakan pertemuan dengan anak Kelantan di perantauan dan kemudian menyertai Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah PH di Putrajaya.
Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 5,000 orang, Nik Omar merayu mereka memilih PH.
“Ini bukan tentang memilih agama. Ini tentang memilih pasukan yang anda mahukan untuk mengetuai negara. Semua orang ada undi untuk memilih,” katanya.
Sementara itu, Tuan Sabariah turut mendedahkan terdapat wakil Barisan Nasional (BN) yang berani datang ke rumah dan memujuknya untuk menyokong mereka.
“Mereka datang ke rumah, berkempen banyak tolong orang, mereka berani, saya rasa mereka datang tak kena tempat, kalau pergi tempat lain banyak mana dah boleh undi,” katanya.
Pada sama yang sama, beliau turut menegaskan akan terus bersama PAS bagi menghormati perjuangan suaminya kerana percaya tiada parti lain yang benar-benar memperjuangkan Islam sebagaimana PAS.
“Kita kena berhati-hati, kita nak kekal yang Tok Guru pegang selama 25 tahun, nak susuh kekal, jangan kelabu mata, banyak (parti) mengaku Islam, Islam itu satu sahaja,” katanya. – 4 Mei, 2018.
Komen