KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan akaun ketiga atau akaun fleksibel pada April 2024, menurut Ahmad Maslan.
Timbalan menteri kewangan berkata kumpulan itu akan mengumumkan dividennya untuk 2023 pada Februari dan Kementerian Kewangan akan mengumumkan pelan terperinci mengenai akaun fleksibel itu tidak lama lagi.
“Organisasi berkaitan boleh memberi pandangan mengenai akaun fleksibel itu melalui Kementerian Kewangan dan juga KWSP,” katanya kepada media selepas satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan akaun ketiga KWSP semasa membentangkan Bajet 2024 pada Oktober.
Beliau berkata menerusi akaun ketiga pencarum KWSP boleh mengaksesnya pada bila-bila masa.
Pada masa ini terdapat dua akaun dalam KWSP – Akaun 1 yang tidak boleh diakses sehingga bersara dan Akaun 2 di mana dana boleh dikeluarkan untuk tujuan seperti pendidikan atau pembayaran pinjaman perumahan.
“Ia akan dilaksanakan tetapi garis panduan diperlukan untuk memastikan ia tidak menjejaskan pendapatan rakyat dan wang daripada akaun ketiga hanya boleh dikeluarkan semasa kecemasan.
“Apa yang dikira sebagai kecemasan akan diperincikan kemudian. Semasa Covid-19, RM145 bilion dikeluarkan melalui empat pengeluaran dan kerajaan memutuskan tidak akan ada lagi pengeluaran,” katanya. – 21 November, 2023.
Komen