ATAS kertas dan secara rasminya, ahli PAS yakin dengan peluang mereka di Terengganu tetapi sebahagiannya secara sembunyi mengakui protes senyap sedang berlaku dalam kalangan penyokong tegar parti Islam itu.
Rasa tidak puas hati itu dalam kalangan ahli PAS dan marah terhadap inflasi akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sandaran Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi Parlimen dan DUN daripada dua gergasi politik Terengganu.
Mohamad, seorang aktivis PAS Marang berkata berlaku cakap-cakap dalam kalangan ahli biasa PAS dan penyokong berhubung keputusan parti untuk bergerak sendirian, bukan bersama PH dan ada rakaman audio yang mengatakan pemimpin PAS menerima wang Umno.
Secara zahirnya, PAS membanjiri Terengganu dengan bendera hijau putihnya dan ada pusat operasi PAS di setiap satu kilometer jalan raya. Tetapi Mohamad tetap berhati-hati untuk mengumumkan kemenangan partinya.
“Saya fikir banyak ramalan kita akan jadi kurang tepat. Jentera kita kuat, kerja bagus. Tetapi bila tiba hari mengundi, kita akan melihat banyak kejutan,” katanya.
Pemberontakan dalaman turut dikesan oleh Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrain Shah, yang mendakwa beliau didatangi ramai ahli PAS yang berjanji akan mengundi PH.
Raja Kamarul berkata ahli PAS berkenaan tidak mahu menunjukkan sokongan secara terbuka kerana bimbang dipulaukan oleh rakan, jiran dan ahli keluarga.
Pemimpin PH yang lain berkata gelombang senyap boleh melebarkan sayap pakatan itu melangkaui kerusi Parlimen dan DUN yang dipegang pada masa ini.
PH memegang Kuala Terengganu selepas Raja Kamarul yang juga ahli Parlimennya, menyertai Amanah, sementara DUN Bandar diwakili Dr Azan Ismail daripada PKR. Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen.
BN memegang empat kerusi Parlimen sementara PAS ada tiga. BN memegang 17 daripada 32 kerusi DUN, sementara PAS ada 14.
“PAS tidak menang Dungun kerana kekuatan ahlinya saja. Ia mendapat sokongan besar pengundi bukan Melayu dan di atas pagar,” kata calon PH Dungun, Abdul Rahman Yusof, yang juga pemimpin veteran Terengganu.
Dungun dimenangi oleh PAS menerusi Wan Hassan Mohd Ramli dengan 3,942 undi pada 2013. Tetapi kerusi itu sebelum itu dimenangi oleh BN pada PRU 2008 dan 2004.
Kerusi DUN Sura di bandar Dungun dimenangi PAS dengan 2,957 majoriti undi.
Kali ini kerusi Parlimen dan DUN berdepan pertandingan beberapa penjuru antara PH, PAS dan BN.
“Dalam pertandingan tiga penjuru di mana semua calon kuat, apa yang anda perlukan untuk menang ialah dapatkan lebih 33% daripada undi keseluruhan,” kata calon PH di Sura, Zulkifli Ali.
“Pengundi tiada parti membentuk 25% di Sura. Jadi kami perlu mendapatkan mereka dan alih undi antara 5% hingga 10% daripada BN dan PAS kepada kami. Itu akan beri kami lebih 35%,” kata pesara berusia 59 tahun itu.
Rahman berkata sasaran itu boleh dicapai memandangkan rasa kecewa terhadap BN sangat tinggi akibat kos sara hidup yang menekan rakyat. – 4 Mei, 2018.
Komen