29 bayi pramatang dipindah dari Gaza selamat tiba di Mesir


Media Mesir berkata 29 bayi selamat tiba di Mesir melalui sempadan Rafah, satu-satunya pintu masuk dan keluar ke wilayah Palestin yang tidak dikawal Israel. – Gambar AFP, 20 November 2023.

DUA puluh sembilan bayi pramatang selamat tiba di Mesir hari ini, selepas mereka dipindahkan dari hospital terbesar di Gaza yang menjadi tumpuan peperangan antara Israel dan Hamas, kata media Mesir.

Bayi-bayi tersebut dipindahkan semalam dari Hospital Al-Shifa, yang digambarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai “zon maut” ketika Israel cuba membuktikan wujud terowong di bawah kemudahan itu yang dikatakan menjadi pangkalan pejuang Hamas.

Akhbar tempatan, Al-Qahera News melaporkan bayi-bayi itu tiba di Mesir melalui sempadan Rafah, satu-satunya pintu masuk dan keluar ke wilayah Palestin yang tidak dikawal Israel.

Pada mulanya 31 bayi dilaporkan sudah dipindahkan dari Hospital Al-Shifa ke klinik Gaza lain dan tidak jelas mengapa hanya 29 yang tiba di Mesir.

Berita Al-Qahera berkata, bayi yang dipindahkan hari ini diletakkan di dalam inkubator.

Sumber perubatan memberitahu AFP, tidak semua bayi itu akan dapat dirawat di hospital El-Arish, 45 kilometer ke barat Semenanjung Gaza.

“Tidak ada inkubator yang mencukupi di hospital El-Arish, dan beberapa bayi perlu dipindahkan ke Ismailia atau Kaherah,” kata sumber itu.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam berkata 31 bayi “tenat” dipindahkan dalam operasi bersama dengan PBB dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Doktor mendapati “semua bayi sedang melawan jangkitan serius kerana kekurangan bekalan perubatan dan kemustahilan untuk meneruskan langkah kawalan jangkitan di Hospital Al-Shifa”, kata Persatuan Bulan Sabit Merah.

Tiada seorang pun daripada bayi itu ditemani ahli keluarga semasa pemindahan awal, kata WHO, kerana Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza tidak dapat mengesan mereka. – AFP, 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen