Guru Hannah Yeoh contoh penjawat awam berani undi Pakatan


The Malaysian Insight

MENGGUNAKAN guru sekolah rendahnya sebagai contoh, pemimpin Pakatan Harapan (PH) Hannah Yeoh dalam ucapannya di Putrajaya malam tadi menggesa penjawat awam keluar daripada zon selesa dan mengundi pembangkang pada 9 Mei.

Beliau berkata gurunya itu contoh penjawat awam yang keluar berkempen untuknya sejak 10 tahun lalu.

“Kali pertama saya bertanding atas tiket DAP pada 2008, umur saya 29. Saya dapat panggilan daripada bekas guru Cikgu Raja Kamarulzaman yang beritahu dia akan kempen untuk saya.

“Dia juga beritahu saya supaya jangan takut kerana dia percaya pada saya. Inilah contoh penjawat awam yang tidak takut untuk melakukan sesuatu yang betul,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 orang malam tadi.

Yeoh berkata beliau percaya ada ramai lagi seperti gurunya yang tidak tahan lagi dengan tahap rasuah di Putrajaya dan berharap mereka juga akan meninggalkan zon selesa untuk mengundi PH.

Katanya, tindakan berani guru itu juga menyebabkan beliau dihina dan dicerca oleh rakan-rakan tetapi itu semua tidak menghalangnya untuk menjadi speaker wanita pertama di Malaysia.

“Bukan saja wanita pertama tetapi juga speaker termuda,” katanya.

Beliau berkata ini kerana 10 tahun lalu, seorang penjawat awam sangat berani untuk membuat perubahan.

“Jadi, saya gesa penjawat awam untuk mencipta sejarah dengan berada bersama PH. Jadi jangan takut. Kerajaan tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap anda,” katanya. – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen