Bapa beritahu saya Dr Mahathir orang bijak, kata Nik Omar


The Malaysian Insight

KETIKA hayatnya, bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sering bercakap tentang kriteria baik Dr Mahathir Mohamad walaupun mereka bermusuh dalam arena politik, kata anak lelaki sulungnya, Nik Omar di hadapan khalayak di Putrajaya, malam tadi.

Nik Omar berkata itulah satu-satunya alasan kenapa bapanya dan Dr Mahathir tidak sehaluan kerana berbeza pendapat tentang beberapa perkara.

“Beliau akan puji Tun (Dr Mahathir) dulu. Beliau kata Tun perdana menteri yang ada kebijaksanaan dan hebat. Beliau juga dihormati oleh rakan di sekitar Asia. Cuma Tok Guru kata pada masa itu Tun tidak gunakan ia untuk Islam,” kata Nik Omar.

Beliau berkata Nik Aziz juga memberitahunya bahawa Dr Mahathir mampu memandu negara ke arah yang lebih baik.

Nik Omar berucap di program ceramahnya di Putrajaya malam tadi, penampilan pertamanya di Lembah Klang selepas lawatan ke Shah Alam, Selangor, semalam.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 5,000 orang, Nik Omar merayu mereka memilih Pakatan Harapan (PH).

“Ini bukan tentang memilih agama. Ini tentang memilih pasukan yang anda mahukan untuk mengetuai negara. Semua orang ada undi untuk memilih,” katanya.

Nik Omar berkata beliau bukan hendak mengajar orang menentang ajaran Islam.

“Pakatan Harapan bukan hendak tuju ke belakang. Kami mahu lakukan untuk kebajikan rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir berucap kira-kira jam 11.30 malam dan bercakap sedikit tentang Nik Omar.

“Kita sudah dengar Nik Omar Nik Abdul Aziz bercakap tentang kenapa dia sokong PH.

“Ramai orang tidak terfikir kenapa dia boleh sokong PH,” kata pengerusi gabungan pembangkang yang terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah itu.

Nik Omar ialah calon PH untuk kerusi DUN Chempaka, Kelantan. Bapanya bertanding di situ sejak sebelum menjadi menteri besar hingga kematiannya pada 2015.

Sementara itu, adik Nik Omar, Nik Mohamad Abduh bertanding di kerusi Parlimen Bachok atas tiket PAS. – 4 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen