DI pusat pentadbiran Putrajaya yang dibina pada zaman pemerintahannya malam tadi, Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas dengan anak kepada bekas musuh politik utamanya daripada PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk meyakinkan penjawat awam agar menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Sewaktu memimpin Umno dan BN selama 22 tahun, ayah kepada Nik Omar Nik Abdul Aziz yang juga mursyidul am PAS merangkap menteri besar Kelantan merupakan antara musuh politik utama Dr Mahathir.
“Kita dengar tadi, Nik Omar Nik Aziz bercakap tentang bagaimana dia sokong Pakatan Harapan (PH).
“Banyak orang tak fikir, dia boleh sokong PH,” kata pengerusi gabungan terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah itu.
Pada PRU13, kerusi Parlimen Putrajaya dimenangi Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, menewaskan bekas naib presiden PAS Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi.
Husam kini meninggalkan PAS dan menyertai Amanah yang ditubuhkan selepas perpecahan parti Islam itu.
Dr Mahathir berkata ketika masih menjadi perdana menteri, masih banyak yang beliau mahu lakukan untuk membangunkan Putrajaya.
“Ada macam-macam lagi yang kita boleh buat, tetapi kita guna duit kerajaan lah nak bagi maju Putrajaya.
“Nak wujud lebih banyak peluang pekerjaan, nak cantikkan lagi Putrajaya supaya ia menarik pelancong,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar memberikan majoriti yang besar kepada PH agar BN tidak boleh menipu pada PRU14.
Sebelum Dr Mahathir berucap, ketika diumumkan Nik Omar akan memulakan ucapan, hadirin bersorak sambil menjerit “takbir” dan menghidupkan lampu daripada telefon bimbit.
“Ambo (saya) ambik semangat daripada adik kakak. Ambo ambik semangat daripada Tun.
“Ambo ambik semangat daripada legasi politik almarhum ayahanda Tok Guru,” kata anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz itu.
Nik Omar turut menyeru penjawat awam dan rakyat Malaysia untuk memilih PH dan menolak BN pada 9 Mei akan datang.
Nik Omar merupakan calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kerusi disandang ayahnya ketika menjadi menteri besar Kelantan, sehingga meninggal dunia pada 2015.
Adiknya, Nik Mohamad Abduh merupakan calon kepada PAS bagi kerusi Parlimen Bachok di Kelantan.
Sebelum Dr Mahathir tiba, ribuan rakyat sudah memenuhi padang di sebelah Masjid Besi di Putrajaya, mendengar ucapan daripada pemimpin-pemimpin gabungan itu.
Walaupun padang becak kerana hujan, orang ramai tidak berganjak sepanjang program yang berakhir pada lewat malam.
Antara pemimpin PH lain yang berucap pada program itu ialah Anthony Loke dan Hannah Yeoh daripada DAP, Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah, Zahir Hassan daripada PKR dan calon PH bagi kerusi Parlimen Putrajaya Dr Samsu Adabi Mamat.
Selain Tengku Adnan daripada BN dan Samsu Adabi daripada PH, kerusi Parlimen Putrajaya turut ditandingi oleh calon PAS Zainal Abidin Kidam pada PRU14 9 Mei ini. – 4 Mei, 2018.
Komen