IA mungkin kawasan kerusi Parlimen milik kerajaan, namun penjawat awam tetap hadir pada ceramah Pakatan Harapan untuk mendengar ceramah daripada pembangkang, yang dimulakan calon perdana menterinya Dr Mahathir Mohamad.
Dianggarkan beberapa ribu orang memenuhi kawasan berlumpur, berdiri selama tiga jam untuk mendengar jaminan daripada penceramah bahawa undi mereka adalah rahsia.
“Dan jika mereka (Barisan Nasional) tahu, peduli apa? Jika kamu tanda ‘X’ pada logo PKR, akan wujud kerajaan baru,” kata peguam kepada Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdullah yang turut berada di pentas menyampaikan ucapan pembukaan.
1.4 juta penjawat awam di negara ini menjadi pengundi selamat kepada Barisan Nasional sejak sekian lama.
Namun penjawat awam Mohd Zubir Amry, 34 berkata, beliau percaya ramai rakan sekerjanya yang akan mengundi PH kali ini.
“Kos sara hidup tinggi menjadi isu utama bagi kami. Gaji penjawat awam tidak setara dengan harga barangan,” katanya ketika ditemui pada ceramah yang diadakan bersebelahan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut dikenali sebagai Masjid Besi.
“Penjawat awam berpendapatan RM2,000 kini sepatutnya mendapat RM5,000. Di negara membangun, gaji RM2,000 hanya gaji yang diperoleh pencuci,” katanya yang tinggal di Presint 18.
Katanya, beliau berpendapatan RM3,000 sebulan selepas berhidmat selama 10 tahun dalam kerajaan.
Sementara itu seorang pekerja swasta, Zainal Ismail yang tinggal di Presint 10 turut menyatakan pandangan yang sama mengenai kenaikan kos sara hidup.
“Jualan Sentuhan Rakyat di sini diterima baik tetapi ia tidak diadakan setiap hari. Kita bercakap mengenai keperluan harian. Dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kami bergelut setiap hari,” katanya, merujuk kepada jualan murah barangan dapur dan makanan yang diadakan oleh kementerian kerajaan.
Zainal berkata, beliau merasakan sentimen dalam kalangan penjawat awam pada PRU14 adalah “berbeza” dengan pilihan raya sebelumnya.
“Rakyat mula berfikir. Mereka mula fikirkan apabila kos sara hidup beri kesan kepada mereka tetapi mendengar pula skandal membabitkan pemimpin,” katanya.
Ditanya adakah majorrit yang hadir pada ceramah berkenaan adalah penjawat awam dan adakah mereka bimbang kerana hadir pada perhimpunan pembangkang di Putrajaya, Zainal berkata beliau mengecam “ramai rakan setugasnya” yang hadir pada ceramah itu.
“Apa yang nak ditakutkan. Kami kekal penjawat awam tapi Parlimen sudah dibubar sekarang. Siapa yang boleh arahkan kami?
Penjawat awam Hafiz Mustapai, 34 berkata, beliau terinspirasi oleh bekas ketuanya di kementerian pertanian yang kini merupakan calon PH - Mohd Yazid Abdullah, yang bersama Amanah dan bertanding di Parlimen Kuala Krai, Kelantan.
“Beliau sebelum ini merupakan timbalan pengarah. Jadi tidak benar penjawat awam takut untuk sokong pembangkang.
“Di sini di Putrajaya memang ada sokongan…mereka mungkin tidak nyatakan secara terbuka tetapi kamu boleh lihat cara mereka bercakap. Saya boleh katakan enam daripada 10 orang menyokong pembangkang,” kata Hafiz.
Ketika Dr Mahathir berucap di pentas, hadirin mula melaungkan “Hidup Tun!”
Zubir berkata, beliau tiada masalah dengan bekas perdana menteri kini yang menjadi pembangkang. Dr Mahathir juga merupakan calon perdana menteri PH.
“Dr Mahathir pernah buat silap tetapi beliau memohon maaf dan ia ditunjukkan menerusi tindakannya. Mengapa orang yang sudah tua mahu lakukan perkara ini. Dalam Islam, kami tahu bila seseorang melakukan kesalahan dan sekiranya mereka memohon maaf, kami akan maafkan.”
Putrajaya akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya daripada BN Tengku Adnan Tengku Mansor dan calon PH Samsu Adabi Mamat dan calon PAS Zainal Abidin Kidam.
Tengku Adnan memenangi kerusi itu pada 2013 dengan 5,541 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan PAS. – 4 Mei, 2018.
Komen