MUHYIDDIN Yassin mempunyai rekod yang baik dengan memenangi setiap pilihan raya di utara Johor bermula dari 1978.
Selepas 40 tahun, beliau memenangi dua kali kerusi DUN dan tujuh kali kerusi Parlimen pada pilihan raya di Pagoh. Namun itu ketika beliau mendapat sokongan jentera Barisan Nasional (BN) yang kuat dan memiliki pengaruh dalam kalangan beberapa pemimpin kampung dan komuniti yang boleh diharapkan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas timbalan perdana menteri itu mendapati dirinya kurang dikenali di kawasan Pagoh. Tiada lagi sokongan daripada pegawai agensi kerajaan seperti Biro Tatanegara untuk berkempen untuknya dan dana tidak terhad untuk ditabur bagi mendapatkan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat mengundi.
Kali ini, Muhyiddin perlu bergantung kepada ahli Bersatu, penyokong setianya dan sukarelawan seperti Norlia Ishak, penyokong pergerakan Reformasi pada 1999.
Norlia, 52, turut memasak untuk petugas parti di pusat mengundi Bersatu di Pagoh.
Jadi, adakah Muhyiddin tidak mempunyai kelebihan tanpa jentera pilihan raya yang lancar? Mungkin.
Adakah ini bermakna beliau mempunyai harapan yang tipis untuk mencapai kemenangan pada 9 Mei nanti? Tidak.
Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada kemenangan majoritinya sejak beberapa tahun lalu yang akan membantu beliau kali ini.
Sejak bertahun lamanya, Pagoh berubah daripada sebuah perkampungan pertanian dan penempatan peneroka Felda kepada bandar universiti (Universiti Pagoh) di utara Johor. Ia bukan lagi kawasan yang terputus hubungan dengan dunia luar.
Terdapat susur keluar dari Lebuhraya Utara Selatan dan tidak lama lagi akan menjadi stesen landasan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura. Ia menarik ramai pemaju seperti Sime Darby.
“Ketika saya beli rumah 10 tahun lalu, harganya hanya RM120,000. Nilai rrumah itu kini tiga kali ganda,” kata Amin Mohd Ali yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Pagoh Jaya. Amin berkata sewa rumah juga meningkat daripada RM400 kepada RM900 berikutan pertambahan pelajar universiti.
Walaupun masih terdapat beberapa penempatan Felda di Pagoh, suasana di kawasan Parlimen itu sudah berubah.
Perubahan ini mencerminkan keputusan pemgundian Muhyiddin ketika masih bersama BN. Pada 2004, bekas timbalan perdana menteri itu mempunyai 83% undi. Tetapi kemudiannya ia turun kepada 71% pada 2008 dan 66% pada 2013.
“Sejak 2008, pengundi kurang menyokong BN di sini kerana saluran maklumat meningkat dan kami terkesan dengan isu bandar seperti kos sara hidup dan GST,” kata KM Wong, yang menjalankan perniagaan kedai runcit di bandar utama Pagoh.
Dapat berhubung dengan seluruh Malaysia juga bermakna mereka terpengaruh dengan isu yang berbangkit di peringkat nasional seperti skandal 1MDB dan gejala rasuah.
Bersatu yang diketuai Dr Mahathir Mohamad menjadi barisan hadapan kempen untuk menonjolkan pemborosan oleh BN dan Muhyiddin sebagai pemimpin kedua penting dapat menarik kalangan pengundi bukan Melayu di sini.
Tee, seorang pemilik kedai perkakas logam di Gambir berkata sejak beberapa tahun lalu, pengundi Cina tidak menyokong Muhyiddin kerana beliau mewakili BN.
“Tapi sekarang beliau dalam Pakatan Harapan, Cina akan beri sokongan kepadanya,” kata lelaki berusia 40 tahun itu dengan yakin.
Kenyataan Tee itu dapat dilihat dengan kesungguhan sokongan kepada Muhyiddin daripada pengundi Cina di barisan kedai kayu zaman pra-Merdeka di Gambir. Pengundi Cina yang tahu beliau akan hadir pada Ahad, sudah menanti kehadirannya dan mahu bergambar serta meminta tandatangan daripada ahli politik berusia 70 tahun itu.
Jadi, Muhyiddin mungkin kehilangan jentera pilihan raya yang disokong agensi kerajaan, namun beliau menemui bentuk sokongan baharu yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Sama ada Norlia, atau masyarakat Cina yang beratur panjang untuk mendaftar sebagai sukarelawan PACA di luar pejabatnya di Pagoh, Muhyiddin mampu atasi jentera BN hanya dengan langkah yang yakin. – 4 Mei, 2018.
Komen