Pegawai SPRM ditahan cuba minta wang daripada polis


Looi Sue-Chern

SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan di Pulau Pinang semalam kerana dipercayai cuba memeras ugut wang daripada polis.

Pegawai terbabit, penolong penguat kuasa di unit risikan SPRM Putrajaya (zon utara) yang mempunyai 16 tahun pengalaman bersama suruhanjaya, kini dibawa ke mahkamah Bukit Mertajam, untuk ditahan reman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata suspek, bapa tiga anak ditahan di sebuah restoran di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam kira-kira jam 10.20 malam semalam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pengadu yang tidak didedahkan namanya oleh pihak berkuasa menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada pegawai terbabit.

Katanya, polis bertindak atas laporan awal petang semalam di Seberang Jaya dan merampas wang tunai RM3,000 daripada suspek yang ditemui di poket seluarnya.

Polis juga merampas MyKad, kad kuasa SPRM, sepasang seluar hitam miliknya jenama Marlboro Classic, beg tangan wanita jenama Polo, dua kelongsong peluru berukuran 9mm, sebuah kereta Volkswagen Polo dan sebuah iPhone.

Nik Ros Azhan berkata pegawai terbabit disiasat kerana memeras ugut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 1 tahun, dengan denda atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman itu.

“Pengadu berkata pegawai terbabit menghubunginya menerusi WhatsApp pada 9.56 malam pada 29 Mac minta hendak berjumpa. Pengadu tidak dapat berjumpa kerana dia berada di Putrajaya.

“Pengadu kemudian berulang kali dihubungi pegawai terbabit, tetapi dia enggan berjumpa; tahu pegawai itu akan memeras ugutnya menggunakan maklumat SPRM untuk mendapatkan wang daripada polis, terutamanya anggota cawangan D7,” katanya.

Polis cawangan D7 mengendalikan jenayah seperti perjudian, maksiat dan kongsi gelap.

Nik Ros Azhan berkata pengadu dimaklumkan oleh rakan setugasnya pada 5 Jun mengenai suspek mahu bertemunya untuk meminta yuran bulanan RM3,000 untuk “melindunginya daripada ditahan SPRM”.

Katanya, pengadu dan pegawai SPRM terbabit bertemu pada 8 Jun di stesen minyak Petronas di Seberang Jaya di mana suspek memintanya membayar RM3,000 setiap bulan jika tidak mahu dikejar SPRM kerana beliau bertugas melaporkan mengenai perkembangan aktiviti perjudian haram.

“Suspek berusia 38 tahun itu minta pengadu bayar pada 9 Jun. Pengadu rasa terancam dan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan pegawai SPRM itu,” katanya.

Dalam satu kenyataan susulan penahanan itu, SPRM hari ini berkata ia tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kesalahan dilakukan oleh pegawainya sendiri dan bersedia bekerjasama dengan polis dalam siasatan itu.

“Tindakan seperti itu tidak mewakili SPRM, yang setiap masa memegang prinsip undang-undang dan perlembagaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada suruhanjaya itu.

“Kami mengalu-alukan tindakan tegas polis dalam penahanan ini dan tidak akan campur tangan dalam siasatan,” katanya. – 10 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen