Dr Mahathir jadi mangsa pertama Akta Antiberita Tidak Benar, kata aktivis


The Malaysian Insight

DR Mahathir menjadi mangsa pertama Akta Antiberita Tidak Benar, kata Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4), Cynthia Gabriel.

Menurutnya, hanya kerana Dr Mahathir mengatakan pesawatnya disabotaj, beliau menjadi orang yang pertama disiasat di bawah undang-undang yang baru digubal itu.

“Pengerusi PH (Dr Mahathir) menjadi mangsa pertama akta ini kerana beliau memberi maklumat pesawatnya disabotaj,” katanya pada ssesi ceramah di Petaling Jaya malam ini.

Dr Mahathir disiasat berhubung kenyataannya yang mendakwa pesawatnya disabotaj ketika mahu meninggalkan Langkawi pada petang hari penamaan calon baru-baru ini.

Cynthia juga berkata perdana menteri sementara Najib Razak terbabit dalam pelbagai skandal yang menjadikan Malaysia sebagai negara kleptokrat.

“Ini merupakan pilihan raya pertama yang mana perdana menteri terbabit dalam pelbagai skandal, bukan hanya kapal selam (Scorpene), tetapi juga 1MDB, Felda dan bermacam lagi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Barisan Nasional perlu menjawab sama ada Pilihan Raya Umum ke 14 ini dibiaya oleh pelabur China di Malaysia.

“PM mengakui pada pilihan raya umum lalu beliau gunakan duit 1MDB RM200 juta untuk menang pada PRU13.

“Jadi sekarang kami mahu tanya, di mana beliau dapatkan duit untuk PRU14?

“Kami tidak risau jika ada pelabur asing, lebih banyak lebih baik, tetapi bagaimana sebuah negara mengawal semua projek infrastruktur di Malaysia?” katanya yang turut menyebut beberapa projek seperti ECRL, Pelabuhan Kuantan dan beberapa projek pelabur China lain.

Sementara itu, calon PH Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dalam ucapannya berkata, Barisan Nasional akan menggunakan apa juga cara sekalipun untuk memenangi pilihan raya umum dan turut menggesa orang ramai keluar mengundi.

“Kami dengar ada nama pengundi Cina dalam daftar pemilih ditukar namanya kepada nama Melayu, pengundi os berbeza daripada daftar pemilih dan beberapa perkara lagi.

“Ini sebabnya ita perlu berikan sokongan kepada PH (untuk membanteras semua ini),” katanya.

Kira-kira 1,000 penyokong hadir pada ceramah PH yang diadakan di SS3 yang turut dihadiri Marina Mahathir dan beberapa pemimpin PH lain. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen