Kumpulan e-hailing gesa Loke kawal tambang, tetapkan harga lantai 


Noel Achariam

Jose Rizal tidak bersetuju dengan kenyataan Anthony Loke untuk mengekalkan dasar e-hailing sedia ada. – Gambar Facebook, 20 November, 2023.

Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) mengegsa Kementerian Pengangkutan mengawal tambang e-hailing dan menetapkan harga lantai (minimum) untuk perkhidmatan itu.

Ketua aktivis GEM Jose Rizal berkata mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengatakan dasar sedia ada akan dikekalkan buat masa ini.

Katanya, kerajaan perlu meneliti harga lantai tambang kerana kini tiada peraturan mengenai harga.

“Tiada harga asas atau harga siling. Tapi kerajaan boleh kawal ini memandangkan perlu ada struktur harga yang sesuai untuk semua.

“Kira harga kos pasaran semasa seperti kos penyelenggaraan, harga petrol dan kos sara hidup,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Loke berkata, kerajaan tidak mengamalkan kawalan harga atau menetapkan suatu harga lantai terhadap kadar yang diberikan kepada pemandu kerana perlu mengambil kira pendapatan keseluruhan pemandu.

“Bagi saya, apa yang diminta untuk dinaikkan kadar akan memberi implikasi pada harga tambang pengguna…Jadi kita perlu lihat pada satu perimbangan bahawa e-hailing ini menggunakan satu sistem mekanisme harga dinamik iaitu bergantung kepada penawaran dan permintaan.

“Setakat ini dasar sedia ada kita kekalkan, tetapi kita akan terus berhubung dan adakan perbincangan dengan syarikat e-hailing dari semasa ke semasa supaya kita dapat cari satu kaedah tanpa kerajaan meletakkan syarat selain, melihat apakah insentif yang boleh diberikan syarikat e-hailing kepada pemandu untuk tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Loke memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu selepas pertemuan dengan beberapa syarikat e-hailing yang beroperasi di Malaysia untuk menyemak tambang yang dikatakan terlalu rendah.

Kata Jose, mengambil contoh yang ditawarkan e-hailing sekarang adalah 25 sen per km dan jika surcaj sebanyak dua kali ia boleh mencecah maksimum kepada 75 sen per km.

“Kemudian ada soal sistem pemetaan yang juga menjadi isu. Pengiraan mereka bukan pengiraan masa sebenar,” katanya.

“Mereka (operator) menganggarkan ambil dan turunkan penumpang dalam 30 minit tapi masa sebenar boleh mencecah hingga 45 minit ke sejam.

“Jadi, siapa yang akan ganti rugi pemandu sedangkan harga tambang itu sudah tetap?

“Kami sudah cadangkan banyak kali sebelum ini untuk wujudkan harga asas,” katanya.

Menurut Jose, pandangan Loke yang menyatakan tiada penetapan harga lantai bermakna pendapatan kebanyakan pemandu tidak akan meningkat.

“Loke gagal memahami dan mengimbangi permintaan ekosistem industri e-hailing yang terbaharu.

“Isunya kadar gaji yang tidak munasabah dan tidak wajar.

“Kami gesa satu sesi meja bulat diadakan segera yang melibatkan semua pihak dalam industri e-hailing dan p-hailing untuk bincangkan isu ini,” katanya. – 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen