PEMIMPIN pembangkang Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di hadapan hampir 1,000 orang hari ini mempertahankan kenyataan pesawatnya ke Langkawi disabotaj.
Dr Mahathir berkata beliau telah menaiki ribuan penerbangan termasuk dengan pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau pada hari berkenaan dan turut mempersoalkan bagaimana ia boleh rosak sehari sebelum hari penamaan calon.
“Pegawai suruhan (perdana menteri sementara) Najib kata pesawat itu tidak disabotaj, Macam mana dia tahu?
“Ketika saya di lapangan terbang tiada seorang pun datang tengok apa yang berlaku,” katanya pada ceramah di PPR Kerinchi malam ini.
Bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung kenyataan yang mendakwa pesawatnya disabotaj.
Dalam pada itu, beliau juga berkata Umno bukan lagi parti yang berjuang untuk rakyat.
“Saya pernah jadi presiden Umno dan sekarang saya nak jatuhkannya kerana Umno bukan lagi Umno. Ia dah jadi parti Najib.
“Bila seseorang itu masuk Umno, soalan pertama yang ditanya “apa yang saya akan dapat?” katanya.
Tambahnya ramai yang sudah biasa dengan kempen pilihan raya tetapi tidak pernah berlaku kempen yang mana ramai jumlah kehadiran sangat ramai.
“Kenapa ramai orang? Sebab semua orang mahu perubahan,” tambah Dr Mahathir.
Dr Mahathir merupakan penceramah pertama dan hanya bercakap kira-kira 20 minit sebelum beredar untuk ke acara seterusnya di Putrajaya. – 3 Mei, 2018.
Komen