PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menyindir Dr Mahathir Mohamad berhubung insiden pesawat peribadi minggu lalu, mengatakan lebih selamat menggunakan penerbangan tambang murah dan tidak akan timbul sebarang isu.
Dalam Facebooknya hari ini Hadi berkata, beliau tiada pesawat peribadi dan menggunakan pesawat penerbangan tambang murah bersama rakyat.
“Insya Allah lebih selamat dijamin tidak dibocor tayar.”
Pada Jumaat lalu Dr Mahathir mendakwa pesawatnya disabotaj ketika beliau mahu meninggalkan Langkawi pada petang hari penamaan calon.
Pengerusi Pakatan Harapan itu kini disiasat di bawah Akta Antiberita Palsu 2018 kerana kenyataan itu.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak takut sebarang siasatan kerana sudah banyak kali disiasat.
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menyifatkan perbuatan menyiasat Dr Mahathir itu sebagai tidak bijak.
Bekas perdana menteri itu mendakwa perbuatan sabotaj itu adalah untuk menghalangnya menghantar kertas pencalonan pada 28 April.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan Dr Mahathir itu dan berkata tiada tanda pesawat berkenaan dikhianat.
Dalam satu kenyataan, pengerusi CAAM Azahruddin Abdul Rahman berkata pesawat berkenaan tidak boleh berlepas berikutan masalah kebocoran udara dari roda hidung sebelah kiri pesawat.
Katanya ia merupakan kerosakan teknikal kecil dan rutin. – 3 Mei, 2018.
Komen