SEMUA anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bebas memilih mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini kerana undi mereka adalah rahsia, kata pegawai tertingginya.
Panglima TLDM, Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata terpulang kepada kebijaksanaan setiap anggota untuk memilih sesiapa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman masing-masing.
“Sebagai warga negara yang penuh bertanggungjawab, undilah dengan penuh bijaksana dan ketahuilah undi kita adalah rahsia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Panglima TLDM itu menyusul surat Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad kepada semua panglima dan pegawai memerintah tiga cabang tentera darat, laut dan udara pada 30 April lalu meminta mereka menggalakkan anggota di bawah naungan mengundi dengan bebas.
Dr Mahathir sebelum itu pada 25 April lalu menulis sepucuk surat kepada semua anggota polis dan tentera supaya mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dengan mengundi secara bebas.
“Mereka tidak harus ditekan oleh parti-parti yang bertanding, khususnya parti Kerajaan, supaya mengundi parti Kerajaan sahaja. Tidak harus ada ugutan terhadap anggota polis dan tentera supaya tidak undi parti lawan,” tulis Dr Mahathir.
Panglima Tentera Darat Malaysia Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bulan lalu yang memberi jaminan pihak tentera tidak akan mencampuri urusan politik serta hanya setia kepada raja dan negara.
Raja Mohamed Affandi membuat kenyataan itu sebagai menjelaskan kenyataan awalnya meminta anggota tentera berterima kasih dan setia kepada kerajaan BN yang dipimpin Najib Razak kerana perdana menteri memberi perhatian khusus kepada keperluan pasukan keselamatan.
Kenyataan PAT itu mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pelbagai pihak sehingga membawa kepada kenyataan penjelasan tersebut.
Anggota keselamatan tentera laut, darat dan udara serta pasukan keselamatan awam adalah antara 300,255 pengundi yang lain akan mengundi awal Sabtu ini. – 3 Mei, 2018
Komen