Menteri nafi dakwaan wabak tibi di Cheras


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa orang ramai supaya tidak panik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2023.

MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan tiada kejadian wabak tuberkulosis (TB) dilaporkan di Cheras.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak panik dan menegaskan keadaan TB di negara ini adalah terkawal.

“Terdapat kejadian TB di Malaysia, tetapi Jabatan Kesihatan sedang memantaunya.

“Kita tidak mahu sesuatu yang tidak benar disebarkan dan kita tidak mahu orang ramai panik.

“Terdapat kes tibi di negara ini, tetapi ianya terkawal,” katanya pada sidang media selepas Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini.

Minggu lalu, gambar notis pengurusan kediaman amaran kes tibi di Cheras tular di media sosial.

Menurut notis dilihat Malaysian Insight yang kononnya daripada pihak pengurusan Pangsapuri Laman Midah bertarikh 15 November memberi amaran kepada penduduk Jabatan Kesihatan Cheras mengesahkan wabak itu di kawasan tersebut sejak 10 November lalu.

Zaliha berkata orang ramai hanya perlu menyemak aplikasi MySejahtera untuk mengetahui bilangan kes tibi di kawasan mereka.

Menurut penjejak MySejahtera mengenai penyakit berjangkit, 11 kes tibi dilaporkan di Cheras dalam tempoh 60 hari lalu.

Beliau menyarankan penduduk yang mempunyai simptom seperti batuk berpanjangan untuk mendapatkan rawatan segera. – 18 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen