KALANGAN pengundi Kelantan yang hadir di satu acara Nik Omar Nik Abdul Aziz hari ini terpesona dengan calon parti Amanah itu yang banyak mengingatkan mereka kepada ulama disegani PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pengundi ini melihat, “aura Nik Omar” itu mampu mencetuskan gelombang sokongan besar dalam kalangan pengundi terutamanya penyokong PAS untuk memilih Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.
“Dia telah mencetuskan satu aura perubahan. Tsunami pertama dicetuskan Dr Mahathir Mohamad dan tsunami kedua dicetuskan Nik Omar.
“Saya rasa aura tsunami kedua ini lagi hebat. Mendengar ucapan Nik Omar mengingatkan saya kepada Almarhum Nik Aziz,” kata seorang pemuda berumur 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Wan kepada Malaysia Decides.
Nik Omar merupakan calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kerusi disandang ayahnya Nik Abdul Aziz yang menjadi menteri besar Kelantan, sehingga meninggal dunia pada 2015.
Adiknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyandang kerusi Pasir Mas, kali ini bertanding di kerusi Parlimen Bachok di Kelantan sebagai calon PAS.
Dalam program di Shah Alam hari ini, pengundi Kelantan yang berada di luar mukim berpeluang untuk bertemu sendiri dengan Nik Omar, anak lelaki sulung kepada ulama disegani itu.
Seorang lagi pengundi Kamarulzaman Shaari, 50, juga melihat bahawa Nik Omar mempunyai aura seperti ayahnya yang merupakan menteri besar Kelantan dari 1995 hingga 2013.
“Bila kita tengok dia ni, dia memang membawa aura Tok Guru Nik Aziz. Tak seperti yang lain. Bukan kita nak perkecilkan yang lain tetapi dia ini lain daripada yang lain daripada sudut pembawaan dia.
“Dia tidak menonjolkan diri dan kesederhanaannya itu yang penting. Berbanding pemimpin PAS sekarang ini yang nak bermewah-mewah.
“Dia kekal hidup sederhana. Dia mempunyai ciri-ciri yang ada pada Tok Guru Nik Aziz,” kata lelaki berasal daripada Pasir Mas, Kelantan itu.
Menurut penganalisis politik dari Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, faktor “aura Nik Omar” inilah juga yang membuatkan PAS kini berada dalam keadaan panik.– 3 Mei, 2018.
Komen