Tiada ibu tak sayang anak, kata Nik Omar


The Malaysian Insight

CALON popular Amanah, Nik Omar Nik Abdul Aziz menangkis spekulasi bahawa beliau tidak mendapat restu untuk bertanding menentang PAS dalam pilihan raya umum ini.

Perkara itu menjadi persoalan utama yang dihadapinya sewaktu menyertai program bertemu pengundi Kelantan di Shah Alam hari ini.

“Tak mendapat restu dari bonda adakah itu benar? Secara ringkas tidak ada anak yang tidak sayang pada mak dan tidak ada mak yang tidak sayangkan pada anak.

“Adik saya anak nombor lima ada jumpa bonda. Ada masa saya anak nombor dua ada jumpa bonda juga,” katanya.

Anak lelaki sulung kepada ulama disegani PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga berkata, beliau dan Nik Mohamad Abduh tetap adik beradik walau bertanding atas tiket berbeza.

“Adik buat masalah macam mana pun kita tetap kena sayang, itu ajaran Islam.

“Pada masa yang sama Islam ajar adik juga mesti tahu macamana nak hormat pada abang dia,” katanya.

Nik Abduh bertanding menentang calon PAS di kerusi Chempaka yang pernah disandang bapanya sewaktu hayat bekas menteri besar Kelantan itu.

Kemunculan Nik Omar dalam pertandingan PRU14 ini menarik perhatian meluas kerana dilihat lebih banyak mewarisi karisma dan perawakan Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Adiknya Nik Abduh yang menyandang kerusi parlimen Pasir Mas pula bertanding di kerusi Bachok.– 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen