Bekas menteri Umno berkempen untuk PH hipokrit, kata Nazri 


The Malaysian Insight

NAZRI Abdul Aziz menyifatkan bekas menteri Kabinet yang mengkritik kerajaan sebagai “hipokrit” yang menerima faedah ketika era pentadbiran Dr Mahthir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu merujuk kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz dan bekas menteri undang-undang Rais Yatim.

Nazri berkata mereka mungkin menentang kerajaan, yang mana mereka sertai sebelum ini untuk kepentingan peribadi.

“Mereka adalah kroni Mahathir. Mereka mungkin tidak dapat apa-apa apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri. Jadi mereka tidak gembira dan melakukan perkara ini,” katanya.

Nazri juga berkata, ironinya mereka ini berkempen bersama Pakatan Harapan.

“Mereka sebahagian daripada PKR dan DAP yang sebelum ini ditentang mereka. Pada saya, orang seperti ini tidak relevan lagi dan hanya alat kepada pembangkang. Ia satu jenaka. Mereka tiada kredibiliti,” katanya.

Sejak Isnin lalu Daim mengikut jejak kempen PH manakala Rafidah dilihat sering mengkritik kerajaan berhubung isu yang dibangkitkan oleh PH beberapa hari lalu.

Rais turut menyatakan pandangannya berhubung cara Putrajaya mengendalikan isu skandal 1MDB dan pada Isnin lalu menghentam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mengeluarkan imej Dr Mahathir daripada papan tanda pembangkang. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen