Penduduk Pekan teruja kehadiran Dr Mahathir, Daim tapi tetap pilih Najib


The Malaysian Insight

PENDUDUK Pekan dilihat teruja dengan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin di sini namun menegaskan yang mereka akan tetapi menundi Barisan Nasional (BN).

Penduduk tempatan berkata terdapat nilai “sentimental” yang berakar di Pekan kerana kerusi itu diwarisi perdana menteri sementara Najib Razak daripada arwah ayahnya.

“Di Pekan, tidak ada kesan (daripada kehadiran Dr Mahathir dan Daim) kalau ada pun, penduduk di sini masih bersama Najib,” kata seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Jalut kepada Malaysia Decides hari ini.

Pun begitu, kehadiran Daim dan Dr Mahathir semasa sesi “walkabout” di bandar Pekan mendapat sambutan mesra daripada pengunjung, tidak kurang juga yang terkejut dengan kehadiran bekas pemimpin Umno itu.

“Sangat tidak disangka yang mereka datang ke sini. Tetapi, apa-apa pun kami menghormati mereka dan mereka sangat ramah. Tetapi, dalam bab undi, kami akan tetapi pilih Najib,” kata pemilik restoran Farah Amirah.

Ahli perniagaan Ahmad Shahrul berkata kebajikan rakyat di Pekan terbela dan mereka tidak merasa kesan buruk ekonomi.

“Di Pekan kebajikan kami terbela. Kami gembira. Kami dapat bantuan. Kami tidak diabai,” katanya ketika ditemui.

Lelaki berusia 36 tahun itu berkata Malaysia masih lagi dalam proses matang dan kerajaan sekarang sedang menyelesaikan masalahnya.

“Kita masih negara baru. Kita ada banyak masalah tetapi ia akan diselesaikan dalam masa terdekat. Kita akan berjaya,” kata Ahmad Shahrul.

Dr Mahathir, yang merupakan calon perdana menteri PH melawat Pahang dalam kempennya ke seluruh negara.

Beliau turut bertemu Daim yang beberapa hari lepas membantu kempen PH.

Daim secara terbuka berkempen bagi calon PH antaranya menteri besar Selangor sementara Azmin Ali, calon PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil, calon Pendang Wan Saiful Wan Jan dan kini di Pekan, calon Bersatu Zahid Mat Arip.

Bekas pengurus bank itu mengkritik pentadbiran Najib yang menurutnya tidak melaksanakan dasar ekonomi dan kewangan yang betul.

Daim juga akan berkempen untuk Dr Mahathir di Langkawi - kawasan yang pernah dibangunakan beliau. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen