La Luna: Sebuah kritik masyarakat Melayu-Islam


Ruhan Shahrir

La Luna dalam bahasa Itali bermakna bulan. Sama ada sengaja atau kebetulan ia juga adalah lambang sebuah parti yang memakai jenama agama di Malaysia. – Gambar Facebook, 18 November, 2023.

KETIKA rencana ini ditulis jangka hayat filem La Luna sudah pun tamat di panggung berdekatan rumah sewa saya. Namun, saya bernasib baik.

Hari yang saya tonton adalah hari terakhir tayangannya. Hanya seminggu cuma. Sayang seribu kali sayang.

La Luna tidak dapat merangkul lebih ramai khalayaknya. Nasib filem-filem berfikir (thinking film) pada akhirnya cenderung ditentukan oleh cukong pawagam. Sangat dikesalkan.

Tidak seperti Tiger Stripes yang merupakan sebuah filem berat, La Luna lebih ringan dan santai. Sesuai buat khalayak awam untuk menikmatinya.

Jika tempoh tayangannya dipanjangkan saya yakin La Luna boleh menarik lebih ramai khalayak yang menontonnya.

La Luna dalam bahasa Itali bermakna bulan. Sama ada sengaja atau kebetulan ia juga adalah lambang sebuah parti yang memakai jenama agama di Malaysia.

Tapi penulis skrip, pembikin lakon layar dan sutradara filem La Luna, Raihan Halim, adalah orang Melayu Singapura. Malaysia dan Singapura tak terpisahkan. Lahir dari rahim yang sama. Rahim Melayu.

Cuma proses sejarah membuatkan Malaysia dan Singapura berbeza dalam perjalanan hayatnya sebagai sebuah negara.

Malaysia menjadi negara dengan orang Melayu dan Islam sebagai komuniti majoriti. Manakala di Singapura orang Melayu dan Islam hanyalah minoriti tanpa sebarang kuasa politik yang berpengaruh.

La Luna dari sisi tersebut adalah pandangan politik, sosial dan budaya daripada seorang pengarah yang datang dari sebuah ranah yang Melayu dan Islamnya minoriti terhadap bangsanya sendiri di seberang tambak Johor, yang Melayu dan Islamnya majoriti.

Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan filem La Luna adalah cerminan pemikiran seorang Melayu di Singapura tentang bangsanya di Malaysia.

Disajikan dalam bentuk komedi satira dan diselitkan juga unsur komedi romantik di lapisan permukaannya, La Luna adalah sebuah filem yang menghiburkan dan mengundang gelak ketawa dari khalayaknya.

Namun di lapisan yang lebih dalam La Luna sarat dengan kritik terhadap masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

La Luna mampu membuatkan khalayak Melayu-Islam khususnya merenung kehidupan mereka yang cenderung dibatasi dan dikawal oleh sosok agamawan.

La Luna berlokasikan di sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah. Struktur sosial masyarakat Kampung Bras Basah digambarkan dengan kewujudan Ketua Kampung, Tok Hassan, lakonan Wan Hanafi Su; imam kampung, Ustaz Fauzi, lakonan Iedil Dzuhri Alauddin; dan Ketua Polis kampung, Salihin Arshad, lakonan Shaheizy Sam.

Shaheizy Sam melakonkan watak ketua polis Salihin Arshad sementara Sharifah Amani sebagai Hanie yang mewarnakan filem La Luna. – Gambar Facebook, 18 November, 2023.

Ketiga-tiga institusi tersebut yang diwakili oleh ketua masyarakat, agamawan dan penguatkuasa adalah struktur sosial yang mencerminkan masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Struktur sosial Kampung Bras Basah boleh saja wujud di mana-mana kampung atau penempatan orang Melayu-Islam di Malaysia, sungguhpun dalam La Luna ia hanya merupakan kampung rekaan. Dalam konteks ini, filem menjadi cerminan kepada realiti yang wujud dalam masyarakat.

Naratif La Luna adalah naratif klasik dalam filem “Spaghetti Western” karya Sergio Leone.

Kehidupan masyarakat di sebuah kampung yang berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh watak “jahat”, yang kemudiannya muncul sosok dari luar kampung yang membawa watak “hero” dan mengalahkan “penjahat” tersebut dan seterusnya menyelesaikan masalah mereka.

Cumanya La Luna tidak secara ketat meniru bulat-bulat Sergio Leone.

La Luna lebih kreatif. Masyarakat kampung dalam filem La Luna tidak sepenuhnya lemah dan tak berdaya. Sebaliknya mereka punya akal budi dan nurani untuk menilai yang mana intan yang mana kaca, yang mana batu yang mana permata.

Malah heronya Sergio Leone yakni Clint Eastwood, digantikan dengan heroinnya Raihan Halim, iaitu Sharifah Amani yang membawa watak Hanie Abdullah.

Cumanya Hanie tidak membawa kuda dan pistol bersama-sama beliau. Hanie cuma membawa idea kemandirian perempuan yang dipasangkan dengan perniagaan baju dalam wanita.

Hanie bukanlah sosok yang sepenuhnya dari luar Kampung Bras Basah. Hanya sahaja beliau tidak pernah menjejakkan kakinya ke kampung tersebut sehinggalah kedai baju dalam wanita yang diusahakannya di Doha dibakar oleh kaum lelaki yang prejudis.

Keseorangan di Doha tanpa siapa pun yang membantu, beliau kemudiannya kembali ke Malaysia. Di Malaysia, tanah dan rumah pusaka kepunyaan arwah datuk beliau yang terbiar tak terurus, diambil alih oleh Hanie untuk membangunkan semula perniagaan baju dalam beliau itu.

Ya. Baju dalam wanita yang sebahagiannya singkat, seksi, tipis, nipis, telus, memperlihatkan samar-samar bahagian tubuh wanita yang bisa merangsang nafsu lelaki! Dijual pula di Kampung Bras Basah! Sebuah kampung yang dipimpin oleh ketuanya, Tok Hassan. Sosok lelaki Melayu tua yang bertopengkan Islam dari sudut penampilannya.

Islam Kampung Bras Basah adalah Islam versi ketua kampungnya, Tok Hassan. Apa yang Islam dan apa yang tak Islam ditentukan oleh Tok Hassan.

Islam versi Tok Hassan adalah Islam hukuman dan pemaksaan. Yang melanggar sekecil mana pun kesalahan, sungguhpun tidak munasabah, tetap dihukum. Ponteng kelas fardhu ain dihukum, ponteng solat Jumaat dihukum, menari dangdut dihukum, memasang muzik dengan bunyi kuat di dalam kereta yang sedang bergerak dihukum, masuk tandas lelaki dihukum, gambar majalah yang menampilkan wanita tak bertudung dihukum, perempuan merokok dihukum.

Sedangkan Tok Hassan sendiri bebas merokok tanpa dikenakan sebarang hukuman. Majoriti yang dihukum di Kampung Bras Basah itu pula adalah kaum perempuan! Begitulah Islam versi Tok Hassan di Kampung Bras Basah. Double standard dan patriarki tanpa ampun!

Di bawah kepimpinan Tok Hassan, Kampung Bras Basah umpama sebuah masyarakat distopia yang dikuasai oleh pemerintah totalitarian dalam novel 1984 karya George Orwell.

Setiap inci kehidupan penduduknya dibatasi, dikawal dan dipantau. Di setiap sudut ruang awam kampung, terpacak papan tanda “Allah Sentiasa Melihat”.

Dengan mengatasnamakan Allah, Tok Hassan mahu menjadikan Kampung Bras Basah sebagai kampung yang paling soleh dan alim versi beliau di Malaysia ini, hatta menerusi cara yang jahat dan licik. Matlamat menghalalkan cara, sungguhpun cara yang digunakan itu adalah salah.

Justeru, kehadiran Hanie dengan perniagaan baju dalam wanitanya itu perlu dihentikan. Baju dalam wanita yang seksi, sungguh pun hanya untuk tatapan sang suami di rumah, dianggap sebagai unsur liar, sesat dan terpesong yang mengganggu serta menggugat naratif soleh dan alim versi Tok Hassan. 

Naratif soleh dan alim versi Tok Hassan menuntut perempuan dan lelaki yang jinak, mengikut dan menurut. Menurut acuan Islam versi beliau.

Untuk memastikan Islam versi beliau itu terlaksana, Tok Hassan menggunakan institusi yang sedia wujud di Kampung Bras Basah, yakni agamawan menerusi watak Ustaz Fauzi dan anggota jawatankuasa kampung untuk membantunya. Perniagaan baju dalam wanita perlu dihentikan.

Manakala Hanie pengganggu naratif alim dan soleh versi Tok Hassan perlu diusir daripada kampung tersebut. Untuk menjayakan rancangan beliau itu, Tok Hassan memerlukan tandatangan Ustaz Fauzi dan anggota jawatankuasa kampung di dalam petisyen pengusiran yang dicadangkannya itu.

Anggota jawatankuasa kampung pada akhirnya menolak untuk menandatangani petisyen tersebut setelah gerakan para isteri menggunakan strategi “nakal” dan licik untuk mempengaruhi suami mereka yang menjadi anggota jawatankuasa kampung.

Begitu juga Ustaz Fauzi yang turut tidak meletakkan tandatangan beliau di petisyen tersebut setelah beliau melihat strategi “matlamat menghalalkan cara” yang digunakan oleh Tok Hassan untuk merasuah Pegawai Negeri.

Begitu juga Salihin yang mempunyai seorang anak perempuan remaja yang mandiri dan lantang melawan Tok Hassan (watak Azura yang dilakonkan oleh Syumaila Salihin) turut tidak menyokong usaha untuk mengusir Hanie dari Kampung Bras Basah.

Terdesak kerana kekurangan sokongan, Tok Hassan sekali lagi menggunakan strategi “matlamat menghalalkan cara” dengan membakar kedai baju dalam wanita kepunyaan Hanie.

Namun, kecurangan Tok Hassan itu terbongkar apabila Salihin menemui pemetik api “zippo” yang sering digunakan oleh Tok Hassan di tempat kejadian, di sebalik runtuhan kayu kedai yang sudah pun menjadi arang.

Seperti mana filem “Spaghetti Western”, watak jahat di hujung cerita dikalahkan. Tok Hassan akhirnya mendekam di penjara. Masyarakat Kampung Bras Basah kini hidup bebas daripada kawalan, pemantauan dan hukuman Tok Hassan. Papan tanda “Allah Sentiasa Melihat” diganti dengan “Allah Sentiasa Menyayangi”.

Di hujung La Luna, Clint Eastwoodnya tidak lagi Sharifah Amani seorang, tetapi semua anggota masyarakat Kampung Bras Basah.

Seluruh penduduknya adalah hero dan heroin yang pada akhirnya menggunakan akal budi, nurani dan keberanian mereka untuk melawan dan kemudiannya mengalahkan pemerintahan totalitarian yang diwakili oleh Tok Hassan.

Jujurnya, garapan Raihan Halim dalam La Luna tidaklah sehalus dan secanggih Tiger Stripes yang lebih berlapis-lapis ketersiratan naratif kisahnya yang disaluti oleh mitos, simbol, metafora, alegori dan perlambangan yang kompleks. Raihan Halim bercerita secara sederhana dan penuh satira. Jelas dan langsung.

Lantaran itu, sedikit kasar tentunya. Sedikit “mengangkat” aparatus negara. Sedikit longgar pada plot dan motivasi watak rekaannya khususnya watak Pa’at yang dilakonkan oleh Hisyam Hamid dan watak Yam oleh Nadiya Nisaa. Namun ia tidak menyumbingkan keseluruhan cerita. Intinya tetap kuat.

Raihan Halim juga tidak memukul rata agamawan. Tok Hassan dan Ustaz Fauzi adalah dua watak agamawan yang bertentangan. Masing-masing punya versi Islam mereka sendiri. Cumanya Tok Hassan adalah agamawan yang sudah mapan.

Kemapanan versi Islam Tok Hassan berakhir dengan sebuah totalitarian yang merasakan dirinyalah yang paling benar. Sebuah kritik tajam buah tangan anak Melayu Singapura terhadap bangsanya sendiri di negara tetangga.

Mungkin menjadi minoriti di negaranya sendiri, menjadikan teropong sosial seorang Raihan Halim lebih bebas dalam membahas. Lebih telak dalam menempelak. Lebih rentik dalam mengkritik.

Membahas, menempelak dan mengkritik seharusnya menjadi usaha yang berterusan di dalam kehidupan berbangsa, meskipun dari sempadan negara yang berbeza.

Perlawanan antara Melayu-Islam yang marah dengan Melayu-Islam yang ramah akan berterusan ditandingi.

Pertembungan antara Melayu-Islam yang memaksa ketunggalan dengan Melayu-Islam yang menerima kepelbagaian akan berterusan berlangsung.

Sepertimana yang digambarkan di babak akhir La Luna, Tok Hassan cuma dipenjara tapi belum habis nyawanya. Masih bernafas untuk membalas.

Begitulah perjalanan hidup manusia. Di balik kerak pasti ada nasinya. – 18 November, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen