PAKATAN Harapan (PH) Kuala Selangor mensasarkan sokongan daripada pengundi Umno yang kini beralih angin tidak lagi menyokong Barisan Nasional (BN) selepas Dr Mahathir Mohamad, bekas presiden parti tunjang pemerintah itu, mengetuai gabungan pembangkang.
Calon PH, Dr Dzulkefly Ahmad berkata PH mahu menjadikan Kuala Selangor sebagai tapak untuk menembusi kawasan luar bandar di Selangor dan seterusnya mencetuskan gelombang peralihan pengundi Melayu menolak BN.
“Saya boleh katakan lebih ramai penyokong Umno sebelum ini yang beralih kepada kami berbanding dengan penyokong PAS yang berjaya kami alihkan sokongan,” katanya kepada Malaysia Decides.
Kajian badan penyelidik Merdeka Center setakat 1 Mei menunjukkan trend sokongan Melayu terhadap PH yang semakin meningkat pada 27.8% berbanding 20% dua minggu lalu, manakala sokongan terhadap BN merosot daripada 53% kepada 51.2%.
Peningkatan sokongan Melayu itu bagaimana dijangka tidak akan mencetuskan tsunami perubahan seperti yang diharapkan oleh PH untuk mendapat mandat ke Putrajaya.
Bagaimanapun, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang pada hari keempat kempen PRU14 mula berkempen secara terbuka untuk PH berkata gabungan pembangkang itu tidak perlukan tsunami Melayu untuk menumbangkan BN, tetapi cukup dengan peralihan 10% undi Melayu kepada mereka.
Dr Dzulkefly menang Kuala Selangor pada pilihan raya umum 2008 dengan 862 undi tetapi gagal mempertahankan kerusi parlimen itu pada 2013. Beliau kalah tipis kepada calon BN, Irmohizam Ibrahim pada PRU13 dengan 460 undi.
PH mensasarkan Kuala Selangor sebagai pintu masuk ke kerusi parlimen majoriti Melayu yang kini dikuasai BN yang menganjur ke utara kawasan itu seperti Tanjong Karang, Hulu Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam.
Pada PRU14 ini, Dr Dzukefly sekali lagi bertembung dengan Irmohizam tetapi berdepan juga dengan calon PAS, Mohamad Fakaruddin Ismail.
Kuala Selangor mempunyai 69,397 pengundi, dengan 65% daripadanya Melayu, Cina 13% dan India 21%.
Kajian terkini Merdeka Center yang diumumkan semalam turut menunjukkan sokongan pengundi Cina dan India kepada PH kekal tidak berubah, lebih tinggi daripada sokongan kepada BN.
Dr Dzulkefly bagaimanapun tidak mahu terlalu yakin dengan trend yang dilihat memihak kepadanya kerana tidak mahu kesilapan terlalu selesa pada PRU13 dulu menyebabkan beliau kalah tipis.
“Saya tidak lagi jadi ‘pengantin’ dalam pilihan raya ini tetapi membuat segala kerja bersama-sama dengan jentera saya.
“Kalau dahulu saya hanya mengarahkan itu dan meminta ini, kali ini tidak lagi. Semuanya saya buat bersama-sama,” kata Dr Dzulkefly. – 4 Mei, 2018.
Komen