IBU kepada seorang kanak-kanak sindrom Down berang selepas mengetahui anaknya yang berusia 24 tahun itu telah didaftarkan sebagai pengundi secara haram, sekaligus menambahkan lagi kebimbangan kumpulan pemerhati terhadap penipuan pendaftaran pengundi.
Valerie Sandra Sethupathy membuat laporan polis di balai polis Seremban semalam bagi mendesak agar siasatan dijalan ke atas kejadian membabitkan anak lelakinya Matthew Gideon Kanagaratnam, yang kini didaftar secara haram sebagai pengundi di Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.
Dalam laporan polis yang dilihat Malaysia Decides, peguam berusia 58 tahun itu berkata beliau sedang bekerja di pejabatnya di Seremban ketika tergerak hati ingin menyemak status mengundi beliau dan anaknya dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (www.spr.gov.my).
“Saya mendapati yang dia telah didaftarkan sebagai pengundi tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu bapanya, iaitu saya dan suami saya.
“Sebagai ibu dia, saya tahu anak saya tidak ada kemampuan untuk mengundi ekoran ketakdayaan dan ketidakmampuannya untuk membaca dan menulis.
“Oleh kerana itu, saya dan suami saya memutuskan untuk tidak mendaftarkan beliau sebagai pengundi,” kata Valerie dalam laporan polisnya.
Beliau bagaimanapun enggan ditemuramah namun sudi menghantar gambar salinan Mykad dan kad OKU milik Matthew, kad kehilangan upaya itu dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan, bagi tujuan pengesahan.
Semakan di laman web SPR dengan memasukkan nombor kad pengenalan Matthew mendapati yang dia didaftarkan sebagai pengundi di Seremban dan Ampangan.
Seremban, kubu kuat DAP sejak Pilihan Raya Umum 2008, terkesan dengan persempadanan semula SPR. Komposisi pengundi kaum Melayu bertambah dari 44% pada 2013 kepada 49% pada PRU kali ini, manakala kaum Cina berkurangan dari 41% kepada 37%. Jumlah Pengundi India pula menurun sebanyak satu peratus.
Perkara ini timbul selepas Bersih 2.0 dan ENGAGE mengeluarkan kenyataan bersama hari ini membangkitkan beberapa contoh penipuan pendaftaran pengundi yang dikenal pasti melalui hasil semakan daftar pemilih.
Antara perkara yang tidak kena yang dikesan mereka antara lain termasuk pendaftaran semula pengundi yang telah meninggal sebagai pengundi baru; kemunculan semula pengundi yang mengundi dalam PRU12 tetapi namanya hilang dalam daftar pemilih PRU13; pengundi yang tarikh lahirnya tidak sama dengan nombor kad pengenalan; pengundi berganda yang didaftarkan di alamat sama, pengundi tanpa alamat, pegawai polis pencen yang masih didaftarkan sebagai pengundi awal dan pengundi pos berbeza yang menggunakan nombor pengenalan tertera yang sama.
Bersih dan ENGAGE berkata “perkara tidak kena ini bukan perkara baru” dan diakui Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya yang menyiasat mengenai perkara tersebut pada 2011 dan telahpun mencadangkan beberapa perkara kepada SPR.
“Pun begitu, kami masih bimbang yang perkara tidak kena ini terus berlangsung, memandangkan pilihan raya umum akan diadakan minggu hadapan,” kata mereka.
Katanya, mereka bersedia untuk menyediakan senarai pengundi yang meragukan di setiap kawasan kepada calon dan agen pembuangan undi bagi tujuan semakan pada hari membuang undi nanti dan turut menggesa agar semua pengundi yang sah untuk membuang undi awal bagi mengelakkan penipuan dan penyamaran. – 3 Mei, 2018.
Komen