NIK Omar Nik Abdul Aziz memberitahu pengundi luar Kelantan beliau membawa legasi bekas Muryidul Am PAS itu, dan menyeru mereka supaya pulang mengundi dan memenangkan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei nanti.
Beliau berkata, perjuangan PH pada hari ini, sama seperti diperjuangkan ayahnya yang pernah menjadi menteri besar Kelantan daripada PAS selama 20 tahun.
“Saya tahu keluarga yang terdekat ditekan, dipaksa, dikatakan keluar agama dan khianat pada perjuangan Tok Guru. Tapi saya yang bawa legasi Tok Guru,” kata Nik Omar kepada pengundi luar Kelantan dalam satu program di Shah Alam, Selangor hari ini.
“Jadi sekarang saya pilih Pakatan Harapan (PH) kan kerana saya yakin pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Harapan sama dengan apa yang dibawa oleh almarhum Tok Guru ayahanda”.
Nik Omar merupakan calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kerusi disandang ayahnya ketika menjadi menteri besar Kelantan, sehingga meninggal dunia pada 2015.
Adiknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan calon kepada PAS bagi kerusi Parlimen Bachok di Kelantan.
Nik Mohamad Abduh sebelum ini merupakan penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas.
PAS memerintah Kelantan sejak 1995 sehingga hari ini dan PRU14 merupakan pilihan raya umum pertama tanpa Nik Abdul Aziz sejak memerintah negeri itu.
Nik Omar berkata, mengundi dalam pilihan raya bukanlah seperti menukar agama dan rakyat bebas memilih “pasukan yang dirasakan layak untuk memerintah Malaysia.”
“Sebab situasi sekarang ini, dimomokkan bahawasanya kalau kita keluar dari PAS kita tukar agama dan keluar daripada bahtera Nabi Nuh.
“Kita memilih ni bukan memilih agama, kita nak pilih yang kita yakin masa PRU,” katanya yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
Nik Omar dalam rangka berkempen di luar Kelantan dan dijadual berceramah di Putrajaya malam ini bersama Dr Mahathir Mohamad dan calon Parlimen Putrajaya PH, Dr Samsu Abadi Mamat. Ahad ini, beliau dijadual berceramah di kawasan Parlimen Gombak dalam program Semarak Tsunami Rakyat bersama-sama pemimpin kanan PH. – 3 Mei, 2018.
Komen