MENTERI besar sementara Ahmad Bashah Md Hanifah hari ini merayu agar pengundi Cina kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian Rabu depan untuk memastikan kestabilan bagi menjalankan perniagaan.
Berucap di hadapan kira-kira 58 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina, Ahmad Bashah berkata hanya kerajaan yang stabil seperti BN dapat menarik pelabur yang akan memberi manfaat kepada komuniti tersebut.
“Apa yang penting kita nak supaya kita ada peluang berniaga ada kawan yang mempunyai jaringan berniaga di Kedah. Tapi ia dapat dibuktikan dengan kerajaan yang stabil dan kuat.
“Sebab dia (pelabur) takut kalau datang (melabur) lima tahun sekali tiba-tiba ada rampasan kuasa, jadi macam Thailand. Apa pun boleh berlaku,” katanya di Dewan Sri Mentalon di Alor Setar Kedah.
Selain itu, penyandang kerusi Suka Menanti itu mengingatkan bahawa kerusi Parlimen Alor Setar dan dua lagi kerusi negeri yang menjadi milik pembangkang harus kembali menjadi milik BN.
“Di Alor Setar ini kita boleh menang. (DUN) Alor Mengkudu ini calon kita kena sokong. Mana kesilapan kita boleh betulkan balik, sebagai manusia biasa kita ada buat kesilapan tapi kena cepat betulkan balik,” katanya.
Kedah mempunyai lebih 1.1 juta pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 164,145 merupakan pengundi Cina.
Pada PRU13, BN kalah di Parlimen Alor Setar kerana kecenderungan pengundi Cina yang menyokong pembangkang di kerusi bercampur itu.
Bagaimanapun, di kawasan parlimen Alor Setar, jumlah pengundi Cina itu berkurang kepada 32 peratus berbanding 34 peratus semasa PRU13, susulan persempadanan semula.
Jumlah pengundi Melayu pula bertambah daripada 61 peratus pada pilihan raya lalu kepada 64 peratus kini. – 3 Mei, 2018.
Komen