Misalkan kita di Palestin


Noor Azam Shairi

Hati kita adalah Palestin, dan Palestin adalah setiap inci pelosok bumi. – Gambar EPA, 17 November, 2023.

TIDAK mungkin pernah sama sekali dapat kita betul-betul bayangkan seperti apa hidup di Palestin selama ini, baik di Tebing Barat yang dikepung tembok tinggi atau di Gaza yang dijuluki penjara terbuka paling besar di dunia — lebih-lebih lagi sejak 7 Oktober 2023.

Lebih sebulan sejak Hamas melancarkan serangan ke atas Israel dan rejim Zionis membalas dengan membantai Gaza, lebih 11,000 orang mati termasuk di Tebing Barat yang dijajah.

Di bumi Palestin, kata “tanah tumpah darah” mendapatkan maknanya yang harfiah.

Setiap gambar dan cerita hanya membagikan kepada kita secebis rasa tentang sehari-hari di Gaza atau di Tebing Barat — yang tidak kita alami sepenuhnya tetapi hanya terkena percik-percik tempiasnya saja.

Kita tidak merasakannya; kita hanya dapat membayangkan saja.

Biar bagaimana tersayat sekali pun luka di hati kita yang mengikuti berita ini dari jauh, pedihnya tidak terbanding dengan sengsara yang berbekas pada Gaza dan ditanggung oleh penduduknya.

Kematian seorang ahli keluarga yang dekat pun sudah mendatangkan hiba yang mendalam, apalagi mereka yang kematian berpuluh-puluh ahli keluarga dalam sekelip mata — seperti yang terjadi pada Tariq Hamouda dan isterinya Manal.

Mereka berjiran di Gaza dan berkahwin, dan sejak 2004 bermastautin di Minnesota, Amerika Syarikat. Keluarga besar mereka tinggal Sheikh Ijleen, sebuah lingkungan di wilayah selatan Gaza tidak jauh dari jalan utama yang menganjur di sepanjang pesisir.

Gaza terus dibedil oleh tentera rejim Israel saban hari menyebabkan ribuan nyawa terkorban.– Gambar EPA, 17 November, 2023.

Menjelang tengah malam 19 Oktober, lebih 10 hari sejak Gaza dibedil bertalu-talu, kawasan kediaman keluarga besar ini dibom dua kali membunuh 42 dua orang dari tiga generasi. Yang paling muda umurnya 90 hari; yang paling tua berusia 77 tahun. Manal turut kematian lima adik beradiknya dan hampir kesemua anak saudaranya.

“Seluruh dunia bagaikan berhenti berputar. Bukan satu, dua, tiga, atau empat — 42 ahli keluarga. Sulit sekali untuk dihadapi,” kata sepupu Manal, Eyad Abu Shaban.

Bukan sedikit dalam kalangan doktor dan petugas hospital malah sukarelawan yang bertugas di lapangan yang kemudiannya menangani sendiri ahli keluarga yang cedera dan terkorban.

Wartawan yang kerjanya melaporkan berita pun, sekarang, mereka sendiri yang menjadi berita. Setakat 12 November, badan wartawan Committee to Protect Journalists yang berpejabat di New York melaporkan sekurang-kurangnya 40 wartawan dan petugas media terbunuh di Gaza. Ada yang dilaporkan hilang dan ada juga yang ditangkap oleh rejim Zionis. Rompi dengan tanda ‘media’ bukan lagi jaminan keselamatan. Tiada lagi jaminan keselamatan selepas tentera Israel sendiri memaklumkan kepada media, Gaza bukan tempat selamat.

Nota kaki sejarah

Keganasan rejim Zionis ke atas Gaza, seperti yang kita lihat sejak 7 Oktober 2023, adalah cerita lama dan panjang yang berulang-ulang. Setiap satu episod dan kejadian menenggelam dan membenamkan episod dan kejadian yang sebelumnya, sehingga jadi apa yang disebut oleh wartawan sekali gus pelukis komik Joe Sacco sebagai “nota kaki”.

Selepas komiknya Palestine yang sebelum itu tersiar berasingan sembilan keluaran dikumpulkan jadi sebuah buku pada 2001, Sacco bersama seorang lagi wartawan Chris Hedges pergi sekali lagi ke Gaza. Mereka tertarik untuk menggali dengan lebih dalam mengenai sepotong catatan pendek tentang pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin di Khan Younis pada 3 November 1956. Mereka mendengar cerita daripada beberapa saksi mata tentang peristiwa berdarah yang berlaku di tengah kemuncak krisis Teluk Suez.

Tentera Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan menghalau penduduk Palestin. – Gambar EPA, 17 November, 2023.

Dalam peristiwa itu, tentera Israel menyerbu Khan Younis dari rumah ke rumah mencari fedayeen (فِدائيّين) atau pejuang Palestin yang  bergerak secara bawah tanah dan lazimnya berhaluan kiri, lama sebelum lahirnya Pertubuhan Pembebasan Palestin atau PLO. Bagi Israel, mereka ini ‘pengganas’ atau ‘militan’ — tanggapan sama terhadap anggota Hamas sekarang. Setiap lelaki terutama yang muda belia secara automatik dianggap sebagai fedayeen. Mereka dibariskan di tepi jalan dan ditembak mati.

Marek Gefen, seorang bekas tentera Israel yang kemudian jadi wartawan, menceritakan kepada Sacco apa yang dilihatnya sehari selepas kejadian: “Di beberapa lorong kami temukan mayat-mayat bergelimpangan, bersimbah darah, dengan kepala hancur. Tidak ada yang memindahkan mereka.”

Tentera Israel juga menembak mati orang Palestin dengan sesuka hati. Gefen turut menceritakan pengalamannya melihat seorang anggota tentera menembak mati seorang doktor Arab yang tidak bersenjata semasa mereka memeriksa sebuah klinik agensi PBB yang menguruskan hal ehwal pelarian Palestin. “Pembersihan di Gaza berterusan,” katanya kepada Sacco.

Mata rantai

Inilah yang berlaku sekarang — pembantaian yang berterusan sejak tahun-tahun akhir dekad 1940-an, sejak Israel menceroboh wilayah Palestin.

Setiap satu episod dan kejadian ini menjadi mata rantai yang mengukuhkan cita-cita merdeka dalam diri setiap anak-anak Palestin. Setiap satu episod dan kejadian terpateri kejap dalam hati dan ingatan anak-anak Palestin, dari generasi ke satu generasi. Setiap orang ada pengalaman masing-masing. Episod dan kejadian itu bertimpa-timpa, kadang-kadang menyerbu sehingga tidak sempat difahami satu persatu.

Namun setiap satu daripadanya mendatangkan kesan yang sama, yang membentuk kesatuan fikiran dalam kalangan mereka bahawa Palestin mesti dibebaskan daripada Israel — suatu hari, pasti.

Abdul Aziz al-Rantisi, tokoh Hamas yang terkenal dengan gelaran ‘Singa Palestin’ mengungkapkan kepada Sacco kesan pembantaian di Khan Younis pada 3 November 1956 kepada cara fikirnya menanggapi persoalan identiti, negara, tanah air, dan Israel.

“Ada luka di hati yang tak pernah sembuh kerana peristiwa itu,” katanya.

Abdul Aziz adalah antara tokoh pendiri Hamas, singkatan daripada Harakat al-Muqawwamatul Islamiyyah atau Gerakan Perjuangan Islam. Ketika umurnya 9 tahun, Abdul Aziz melihat pak ciknya mati ditembak oleh tentera Israel pada November 1956.

“Perbuatan seperti itu tak bakal terlupakan. Mereka menanam kebencian di hati kami,” katanya, seperti dipetik oleh Sacco.

Tokoh Hamas yang terkenal dengan gelaran 'Singa Palestin', Abdul Aziz al-Rantisi.– Gambar EPA, 17 November, 2023.

Kebencian itu bertumpuk dari satu peristiwa ke satu peristiwa, dari tahun ke tahun, dari satu generasi ke satu generasi. Malah, Israel sangat memahami kesan dan akibat daripada dendam yang dipahatnya ke dalam hati setiap orang Palestin. Mereka sudah diingatkan lama dahulu oleh bekas menteri pertahanannya Moshe Dayan yang juga ketua tentera semasa Krisis Teluk Suez. Dayan memberikan ingatan itu dalam pidato yang disampaikan enam bulan sebelum krisis meletus, dan lapan tahun selepas Israel mula merampas tanah Palestin secara terancang.

Pidato itu diucapkan pada upacara pengebumian Roi Rutenberg, pengawal sebuah kawasan penempatan Yahudi dekat Gaza, yang mati dibunuh oleh Arab Palestin. Pidatonya singkat — tidak sampai 300 patah perkataan, namun sangat mustahak kerana menetapkan pengertian tentang jati diri dan kebangsaan Israel.

“Marilah hari ini kita tidak menyalahkan para pembunuhnya (Rutenberg). Apa yang boleh kita katakan mengenai mereka terhadap kita?

“Sudah lapan tahun mereka ada di kem pelarian di Gaza dan melihat bagaimana kita mengubah tanah dan desa tempat mereka dan leluhur mereka dulu tinggal menjadi rumah kita. Di balik perbatasan, bergolak lautan kebencian dan dendam. Dendam yang menunggu hari ketika damai menumpulkan kewaspadaan kita, ketika kita mendengarkan duta kemunafikan meminta kita menyimpan senjata.

“Janganlah kita takut menatap langsung kebencian yang memenuhi hidup ratusan ribu orang Arab di sekeliling kita,” katanya, menyeru orang Yahudi untuk “membuat perhitungan dengan diri sendiri”.

Ringkasnya, berdamai bukan jalan penyelesaian.

Penduduk Palestin terpaksa berlindung di khemah sementara selepas kediaman mereka hancur dibedil rejin Israel. –  Gambar EPA, 17 November, 2023.

“Inilah takdir generasi kita. Inilah pilihan hidup kita. Siaga dan bersenjata. Tegas dan keras — atau pedang akan terlepas dari tangan kita dan nyawa kita ditebas,” katanya.

Tanah air juga adalah nasib — atau “takdir generasi” — bagi orang Palestin, sama seperti orang berbangsa apa sekalipun di seluruh dunia. Mereka tidak memilih untuk jadi orang Palestin. Satu-satu pilihan yang ada ialah menjalani hidup yang bermakna dan sewajarnya sebagai orang Palestin — berkebangsaan dan bernegara.

Dengan latar itulah, Hamas melancarkan serangan dari pelbagai penjuru ke wilayah yang dijajah oleh Israel pada 7 Oktober 2023 — serangan yang didorong rasa benci dan amarah yang terbungkus jadi dendam yang sudah tidak terbendung lagi.

Hanya beberapa hari sebelum melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa, pendatang Yahudi merempuh Masjid Al-Aqsa ketika sambutan hari kesyukuran selepas musim menuai yang dirayakan selama tujuh hari.Tindakan mereka dianggap sebagai mencemarkan masjid suci bagi umat Islam, masjid yang kisahnya dirakamkan dalam Al-Quran.

Mata rantai ini tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan cerita tentang Palestin dan Israel. Sama seperti episod demi episod dan peristiwa demi peristiwa yang bertumpuk-tumpuk dalam cerita panjang konflik ini, ia condong untuk jadi hanya nota kaki sejarah.

Memilih-milih

Namun kita — selepas ini — tidak boleh lagi mengambil sikap atau bertindak memilih-milih. Kezaliman di Gaza atau di Tebing Barat sejak 7 Oktober 2023 tiada bezanya dengan apa yang berlaku sebelumnya. Mereka yang terkorban di Palestin bukan hanya angka. Kita mesti menebus dosa melihat konflik ini sebagai hanya angka: tiga orang mati ditembak tentera Israel, 10 orang Palestin ditahan, dan sebagainya.

Angka yang besar membuatkan kita sedikit tergamam. Angka yang kecil membuatkan kita acuh tak acuh, malah berpaling. Sungguh, angka tidak punya apa-apa makna.

Kita hilang peka — tertumbuk akal dan mati rasa.

Misalnya, ada dua episod penting yang berlaku di Palestin dan wilayah yang diduduki oleh Israel sekurang-kurangnya pada tahun ini sahaja tetapi tidak mendapat perhatian dunia yang sama seperti Operasi Taufan Al-Aqsa. 

Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam sering menjadi sasaran tentera Israel. – Gambar EPA, 17 November, 2023.

Pertama, sembilan bulan jauh lebih awal sebelum perang terbaru ini tentera Israel melancarkan siri serangan ke atas kem pelarian di Jenin bermula pada 26 Januari 2023. Serangan kedua pada Jun dan seterusnya yang ketiga pada Julai, tidak sampai 100 hari sebelum Hamas menyerang Israel yang membawa kita ke tengah konflik sekarang. Selepas 7 Oktober 2023 pun Israel membantai Jenin beberapa kali lagi. Siri serangan ini adalah yang terbesar di Tebing Barat dalam masa 20 tahun, sejak Intifada Kedua.

Kedua, insiden di Masjid Al-Aqsa pada April 2023 ketika umat Islam sudah dua minggu berpuasa. Masjid ketiga suci dalam Islam itu memang menjadi medan tempur pada setiap Ramadan. Ketegangan semasa Ramadan pada 2021 membawa kepada perang 11 hari di Gaza, setelah Hamas melancarkan Perang Pedang Al-Quds yang dijawab oleh Israel dengan Operasi Pelindung Tembok, merujuk Tembok Buraq yang dianggap suci dan disebut oleh Yahudi sebagai Tembok Ratapan atau Tembok Barat.

Siri serangan di Jenin sejak awal tahun itu kemudiannya bertimpa-timpa tenggelam, dibenamkan oleh kekejaman yang seterusnya dan seterusnya — sehingga akhirnya, kita tidak sedikit pun tersentuh dengan apa yang berlaku sedangkan. Tindakan tentera Israel merempuh Masjid Al-Aqsa pun hampir tidak berbekas pada kita pada masa itu kerana reaksinya tidak seperti sekarang. Sekali lagi, kita tidak tersentuh.

Bayangkan

Supaya tidak lagi hilang peka — tertumbuk akal dan mati rasa, kita mesti membayangkan diri kita di Palestin.

Lebih kurang dua dekad lalu, ketika cendekiawan Palestin, Edward Said meninggal dunia, sasterawan dan wartawan terkemuka Indonesia (dan sekarang juga pelukis), Goenawan Mohamad ditanya oleh temannya: “Kenapa kita sedih?”

“Mungkin kerana hati kita adalah Palestin, pernah merasakan bagaimana diringkas, diringkus, dan dibungkam,” jawab Goenawan.

Barangkali lukisan dan puisi tidak sedikit pun akan membantu mereka yang tercekik hidupnya di Gaza. Barangkali kita sebaliknya yang lebih tertolong — tidak lagi mati rasa.

Semoga nanti, kekejaman, penindasan dan ketidakadilan tetaplah juga kekejaman, penindasan dan ketidakadilan — tidak hanya di Palestin, tetapi juga di mana-mana belahan dunia sekali pun.

Moga-moga kita lebih terbuka hati dan bersih jiwa untuk melihat pembunuhan beramai-ramai orang Palestin tiada banyak bezanya dengan pembantaian ke atas etnik Rohingya di Myanmar atau Uighur di China. Rampasan tanah orang Palestin tidak jauh bezanya juga dengan pencerobohan ke atas tanah adat Orang Asli di Gua Musang atau di Gerik.

Moga-moga begitulah hendaknya — kerana hati kita adalah Palestin, dan Palestin adalah setiap inci pelosok bumi.– 17 November, 2023.

* Esei ini juga terbit mengiringi pameran seni COLOURS OF GAZA di Galeri Puteh di KL Eco City Mall, Kuala Lumpur.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hmm yes we stand with ordinary Palestinians who were let down by decades of bad choices and Hamas finally following Iranian directions. There were never barricades or walls before, and we know why that became necessary. If the youths were not brainwashed into an existence of hatred, we will not not be here.

    Dimuat naik 5 bulan yang lalu oleh Alphonz Jayaraman · Ulasan