Harga minyak naik jika BN menang, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng memberi amaran, harga bahan api di dalam negara akan naik mendadak sekiranya pengundi masih memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan.

Sebaliknya, harga minyak yang kekal sejak lima minggu lalu tidak akan naik sekiranya pengundi memilih Pakatan Harapan (PH), katanya ketika berucap kepada lebih 1,000 pengundi di Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.

“Ini lima minggu harga minyak sangat bagus, tidak naik. Mengapa tidak naik. Pilihan raya lah… itu sebab lima minggu minyak tidak naik.

“Tetapi kalau BN menang pada 9 Mei dia akan naik, naik macam roket, kecuali ini kalilah!” katanya, melaungkan slogan popular DAP, dan disahut dengan jeritan “Ubah” oleh hadirin.

“Ingat bila BN naik (menang) harga minyak akan naik. Bila nak harga minyak turun BN kena turun,” tambahnya.

Sejak lima minggu lalu harga minyak kekal tidak berubah dengan RON 95 pada harga RM2.20 seliter, RON 97 RM2.47 seliter, diesel RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 kekal pada harga RM2.28 seliter.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ditetapkan pada Rabu, 9 Mei depan jatuh pada hari sama yang merupakan hari penetapan harga minyak mingguan.

Isu harga bahan api berkenaan menjadi perhatian kerana menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup – isu utama dalam pilihan raya umum kali ini.

Guan Eng turut berkata, pembangkang perlu menantikan tempoh yang lebih lama untuk menjadi kerajaan sekiranya gagal menumbangkan BN dalam PRU14.

Menurutnya penghalang utama adalah faktor usia pengerusi gabungan parti tersebut, Dr Mahathir Mohamad yang sudah lanjut. Selain itu, calon pilihan PH untuk jawatan perdana menteri, Anwar Ibrahim jugperlu menanti  tempoh sepenggal lagi untuk bertanding dalam pilihan raya.– 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen