RAMALAN Daim Zainuddin bahawa dua lagi negeri iaitu Kedah dan Perak akan jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipakai dan tidak boleh dianggap tepat kerana “veteran Umno itu sudah berusia”, kata menteri besar sementara Kedah Ahmad Bashah Md Hanifah.
Katanya, ramalan Daim ketika pilihan raya umum 2008 dan 2013 dulu berbeza kerana ia “ramalan semasa beliau muda”.
“Tetapi kini beliau dah berumur, tak betul itu. Ramalan (Daim) itu macam ramalan sotong saja,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama pertubuhan masyarakat Cina di Dewan Sri Mentaloon, di Alor Setar, Kedah.
Ahmad Bashah mengulas wawancara Daim dengan akhbar Mandarin, Nanyang Siang Pau yang disiarkan hari ini. Dalam wawancara itu, Daim berkata Barisan Nasional akan kehilangan Kedah dan Perak dalam PRU14 pada 9 Mei ini.
Daim membuat jangkaan itu dengan syarat PH mengemukakan calon menteri besarnya di kedua-dua negeri itu dan “jika PH menjalankan kempen dengan betul”.
Selain Kedah dan Perak, Daim menganggap kedudukan antara BN dan PH di Johor dan Sabah setakat ini masih “50-50”.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan perubahan kerajaan negeri boleh berlaku di Sabah kerana sejarah politik negeri itu membuktikan ia bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku.
“Sabah ubah kerajaan berapa kali, ingat?” katanya dalam wawancara itu, merujuk kepada peralihan kerajaan negeri kepada Usno ada 1967, kemudian Berjaya (1975) dan kemudian PBS (1985) sebelum Umno bertapak di Sabah dan berkuasa sejak 1994.
Dalam wawancara itu, Daim turut menjangkakan Pulau Pinang dan Selangor akan kekal dalam genggaman Pakatan.
Ahmad Bashah yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata selain yakin BN akan mempertahankan kemenangan di Kedah, beliau malah yakin juga BN akan dapat merampas semula Selangor.
Menjelang PRU12 pada 2008, Daim membuat bacaan BN akan kalah di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, dan tidak dapat merampas Kelantan daripada PAS. Dalam pilihan raya itu, jangkaan Daim jadi kenyataan malah BN juga kehilangan kuasa di Perak.
Menjelang PRU13 pula, Daim meramalkan BN akan menawan semula Kedah jika ada pemimpin yang sesuai sebagai calon menteri besar. BN menang di Kedah apabila memajukan Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar, yang kemudian dipecat daripada Umno pada 2016 selepas mengkritik Najib Razak.
Beberapa pemimpin Umno Kedah turut sependapat dengan Ahmad Bashah mengatakan Daim tidak ada pengaruh atau maklumat yang boleh dipercayai untuk membuat andaian tentang keputusan PRU14.
Mereka mendakwa Daim tiada sentuhan di akar umbi dan tidak berinteraksi dengan penduduk di kawasannya semasa jadi wakil antara 1986 hingga 2004. – 3 Mei, 2018.
Komen