JIKA sebelum ini, Ricky Clark mampu meraih pendapatan RM1,500 sebulan sebagai nelayan tetapi selepas projek penambakan laut dilaksanakan berdekatan perkampungan Portugis, beliau hanya meraih kira-kira RM700 sebulan atau kurang.
“Kalau boleh saya harap akan datang laut jangan kacau (jangan tambak). Sampan nak ke laut pun susah banyak bagi kesan,” katanya kepada Malaysia Decides.
Lelaki berusia 54 tahun itu berkata jika ingin mendapatkan hasil yang banyak, beliau perlu pergi ke tengah laut yang lebih dalam dan ia memerlukan jaring jenis berlainan.
“Jaring mahal sekarang. Sekarang semua harga dah naik. Macam udang jaring lain. Harga barang semua dah mahal. Nak bajet pun tak boleh sejak (pelaksanaan) GST (cukai brangan dan perkhidmatan). Kalau boleh untuk nelayan kerajaan dapat subsidikan jaring sebab pergi kedai semua bagi alasan GST,” katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak lebih 30 tahun lalu.
Malaysia Decides menemubual beberapa nelayan di daerah Melaka Tengah mengenai harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini ketika majlis penyampaian bayaran secara “one-off” berjumlah RM300 hari ini.
Paul Anthony Lazaro, 53, turut mengharapkan perkara sama. Katanya berikutan penambakan tersebut, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan bulanannya tetapi juga memaksa beliau melakukan dua kerja untuk menampung kehidupan seharian.
“Sebelum ni saya pernah buat kerja kontrak. Tapi sekarang saya tak ada buat lagi sebab ada lelah. Kerja tu penat. Saya pula ada tiga orang anak yang bekerja.
“Jangan tambak, nanti masa depan laut tak ada. Semua bangunan saja. Nelayan nak pergi tangkap udang ikan pun susah. Lama-lama tak ada nelayan,” katanya.
Seorang lagi nelayan Abdul Rahman Ahmad turut bersependapat dengan Clark dan Lazaro.
“Kalau pembangunan naik tapi rumah, kedai apa semua banyak tak laku? Kalau nak beli ikan pun kena import?
“Kalau tambak ekosistem semua habis. Bukan saya tak sokong kerajaan tapi kerajaan kena ambil kira semua sudut,” katanya.
Beliau mengharapkan kerajaan negeri memberi ruang kepada nelayan untuk menternak ikan dalam sangkar bagi menampung permintaan bekalan ikan.
Sehingga kini, negeri Melaka mempunyai sebanyak 1,006 vesel (sampan) berdaftar. Sejumlah 432 vesel berdaftar di daerah Melaka Tengah.
Menurut Ketua Menterinya Idris Haron, di Melaka seramai 1,400 nelayan telah berdaftar dan 541 daripadanya menetap di Melaka tengah. – 3 Mei, 2018.
Komen